PENDUDUK di rumah pangsapuri PKNS, di Kampong Baru, Kuala Lumpur, khuatir dengan keadaan semasa di kawasan tersebut, susulan terdapat satu kematian berpunca daripada Covid-19 di kejiranan dua blok bangunan 16 tingkat itu.
Namun mereka meletakkan kepercayaan penuh kepada anggota barisan hadapan bagi memastikan tidak wujud kluster baharu di kawasan tersebut.
Imam Masjid Jamek Kampong Baru Azizi Ab Hamid, 41, berkata, dengan kawalan ketat yang dilaksanakan pihak polis di kawasan pangsapuri itu, pihaknya mengharapkan rantaian Covid-19 tidak berlanjutan.
“Bila aliran keluar masuk terkawal kita dapat putuskan rangkaian dan tidak ada pertambahan kes.
“Kita ‘semi lockdown’, bukan ‘lockdown’... Polis pun daftar keluar masuk (penduduk), ambil alamat dan sebagainya,” katanya, kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui di Kampong Baru, kelmarin.
Katanya lagi, lebih 700 daripada 1,000 penduduk di pangsapuri PKNS itu menjalani saringan yang dilaksanakan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada Ahad.
“Semalam (Ahad) saringan penuh, 700 lebih (penduduk buat saringan). Kita harap tidak ada pertambahan kes.
“Keadaan di sini alhamdulillah, cuma mereka yang tiada urusan tidak perlu keluar, kedai pun ada di bawah, barang basah pun ada dijual,” katanya, yang juga penghuni di pangsapuri tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Ahad mengesahkan satu kes kematian di pangsapuri itu menyebabkan saringan kesihatan dilakukan terhadap penduduk bangunan tersebut.
Tinjauan The Malaysian Insight mendapati anggota polis dan Rela turut berkawal di pintu masuk pangsapuri berkenaan dengan satu lagi pintu masuk ditutup.
Penduduk yang ingin keluar akan menjalani saringan suhu badan dan perlu mendaftar dengan anggota polis yang bertugas.
Orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut, kecuali kenderaan perniagaan melibatkan barangan makanan keperluan.
“Saya amat yakin dengan tindakan KKM dah buat saringan, kita harap dalam tempoh kuarantin tidak ada pertambahan kes baru,” kata Azizi.
Sabariah Sharif, 56, pekerja di pusat rawatan alternatif yang menetap di pangsapuri itu berkata, walaupun kawalan ketat membataskan pergerakan penduduk, pihaknya sedar tindakan itu demi kebaikan mereka.
“Kebimbangan kita adalah kita takut virus, nak keluar susah, pergerakan terbatas, tapi virus kita tak nampak. Setengah orang sihat tapi ada virus.
“Nak keluar polis minta kad pengenalan, tujuan keluar, waktu keluar dan masuk…elok macam itu, supaya tidak nampak pergerakan keluar masuk terlalu bebas, (dalam keadaan itu) rasanya kita selamat,” kata Sabariah, yang sudah menjalani saringan awal sebelum ini.
Sabariah berkata, pihaknya juga sudah menyediakan barangan keperluan harian untuk keluarganya sebelum daripada kawalan separa itu dilaksanakan semalam.
Bagi Hasniza Md Nor, 39, kawalan ketat di kediamannya tidak begitu dirasai memandangkan sudah terbiasa bekerja dari rumah.
Jurulatih pemasaran itu berkata, dia hanya keluar jika keadaan memaksa namun dengan langkah pencegahan ketat diamalkan bagi mengelak jangkitan Covid-19.
“Saya rasa di sini, saya ambil secara positif, kita tengok kakitangan barisan hadapan beri kawalan yang baik, sudah tentu ok, hanya kita perlu bagi kerjasama untuk keselamatan kita, sebab kita berperang dengan benda yang kita tak nampak.
“Di rumah pula kita perlu tambahkan ilmu pengetahuan, amalkan solat tajahud…kita berserah kepada Allah,” katanya, yang turut menjalani saringan dijalankan pihak KKM.
Tinjauan juga mendapati, pihak polis turut melarang pekerja syarikat penghantaran barang memasuki kawasan pangsapuri untuk menghantar barangan ke kediaman pelanggan.
Sebaliknya, pelanggan perlu keluar ke perkarangan pintu masuk pangsapuri dan mengambil pesanan mereka.
Mohd Rushda Husni Ab Samad, 31, yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, kerisauan wujud apabila perlu menghantar barang ke kawasan seperti itu namun pihaknya mengamalkan langkah berjaga-jaga.
“Risau memang ada, kita berjaga-jaga sahajalah. Kita tak tahu benda ini menular macam mana. Kita jaga jarak dan gunakan cecair pencuci tangan.
“Bila hantar barang kami siapkan rekod dan terus bagi kepada pelanggan. Kalau dulu sebelum ini kita bagi pelanggan dan mereka akan isi dokumen penyerahan dan perlu tandatangan, sekarang tidak lagi. kita hanya ambil gambar sahaja,” katanya.
Setakat semalam, kes jangkitan Covid-19 di Malaysia mencecah 4,987, tidak sampai unjuran 6,300 kes yang dibuat oleh agensi antarabangsa sebelum ini. – 15 April, 2020.
Komen