AS pulangkan AS$300 juta dana 1MDB kepada Malaysia, kata PM 


Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang telah dilucut hak dan dijual, serta juga aset berkaitan 1MDB.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2020.

KERAJAAN hari ini mengumumkan bahawa sebanyak AS$300 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan kepada Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata jumlah itu merupakan dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

“Pada 30 Oktober 2019, penjenayah dikehendaki Malaysia, Jho Low telah mencapai penyelesaian dengan DOJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang telah difailkan oleh jabatan itu ke atas aset-aset yang telah dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB.

“Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang telah dilucut hak dan dijual, serta juga aset berkaitan 1MDB yang telah disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin berkata pemulangan AS$300 juta itu bermakna dana 1MDB yang telah dikembalikan kepada Malaysia sama ada dalam bentuk hasil proses penjualan ataupun aset secara keseluruhannya kini berjumlah AS$620 juta.

Perdana Menteri berkata proses untuk menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika, terutamanya kedutaan negara itu di Kuala Lumpur atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah AS$300 juta ini.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan,” katanya.

Muhyiddin berkata usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat, DOJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang.

Sementara itu Kementerian Kewangan turut mengeluarkan senarai dana 1MDB yang diterima setakat ini.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, dana yang diterima setakat ini adalah seperti berikut:

1) AS$57 juta hasil penyelesaian dengan Red Granite Pictures (dikreditkan pada Mac 2019);

2) AS$137 juta hasil jualan kepentingan Jho Low dalam Hotel Park Lane (dikreditkan pada April 2019);

3) AS$126 juta hasil jualan kapal layar mewah, Equanimity, oleh Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur (dikreditkan dalam akaun amanah pada Disember 2019);dan

4) AS$300 juta (dikreditkan kepada Malaysia pada April, 2020).

Menurut Tengku Zafrul, tranche terakhir membabitkan pengembalian dana sebanyak US$300 juta yang dikreditkan pada April, merangkumi wang atau aset dikaitkan dengan 1MDB yang telah diperolehi semula dan dilucutkan atau diserahkan kepada Jabatan Kehakiman AS (DOJ). – Bernama, 15 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen