KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa ketiga, pekerja asing di seluruh negara kini berdepan kesukaran dan tidak tahu berapa lama lagi mereka mampu bertahan tanpa pekerjaan dan bekalan makanan.
Majoriti pekerja asing yang ditemui The Malaysian Insight di Lembah Klang dan Johor berkata, mereka tiada pilihan bagaimana untuk berdepan situasi ini.
Mereka turut merungut bahawa tanpa pekerjaan, mereka tidak dapat menghantar wang ke kampung untuk keluarga mereka yang turut berdepan situasi sama - kawalan pergerakan dan tiada pekerjaan.
Tiada bantuan disalurkan daripada masyarakat sivil atau kerajaan, menyebabkan lebih 200 pekerja di tapak pembinaan di Setia Alam dekat Shah Alam, Selangor terpaksa bergantung kepada kedai berhampiran untuk mendapatkan bekalan, namun ketiadaan wang menyebabkan keadaan lebih sukar.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, mereka memohon bayaran pendahuluan gaji daripada majikan untuk dihantar ke kampung.
“Kami minta pendahuluan agar boleh hantar ke kampung. Kami tidak bekerja sejak PKP dilaksanakan dan sebab itu kami kehabisan wang,” kata Abdus Samad, 40 dari Bangladesh.
“Keluarga kami di Bangladesh juga susah. Mereka juga tidak cukup akan dan kena perintah berkurung.”
Bangladesh melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara bermula 25 April selepas 621 kes positif Covid-19 dengan 34 kematian dilaporkan. Kerajaan Bangladesh turut mengenakan peritah berkurung daripada pukul 6 petang hingga 6 pagi setiap hari.
“Keluarga saya juga kena perintah kawalan pergerakan. Jika saya tidak hantar wang kepada mereka, bagaimana mereka mahu makan,” kata Abdus.
Abdus yang menjadi jurucakap kepada rakan pekerja lain di Setia Alam berkata, kebanyakan rakannya bimbang mereka tidak akan mampu bertahan sehingga akhir bulan ini.

“Kalau kami tak kerja, kami tiada wang. Buat masa ini kami minta pendahulun gaji tapi sampai bila. Kami juga perlukan wang.”
“Sekiranya kawalan pergerakan dilanjutkan hingga Mei, saya tidak rasa kami akan bertahan tanpa kerja. Apa lagi yang kami boleh buat, kami tiada pilihan,” kata Abdus.
Buat masa ini ada sebahagian daripada mereka mengutip wang sesama mereka untuk belikan makanan setiap hari.
Wang yang mereka kumpul, mereka beli roti, ubi kentang, bawang, beras dan barangan keperluan lain.
Sementara itu, bagi Kalam, 30, dia dan lima rakannya berkongsi wang untuk membeli barangan.
“Kami tidak kerja. Kami hanya duduk saja, tengok telefon, bersembang antara satu sama lain dan kami ulangi rutin sama setiap hari,” kata Kalam.
“Kami kutip RM5 setiap seorang dan wang itu kami beli dan makan sahaja apa yang boleh. Jika ada lebihan makanan, kami tak kutip duit hari seterusnya. Kami makan makanan berlebihan itu.
“Kalau boleh, saya mahu kerja untuk dapatkan wang dan hantar ke kampung. Tanpa pekerjaan, saya dan rakan-rakan tidak boleh bertahan dan sekiranya ini berlarutan, saya tidak tahu macam mana kami nk teruskan hidup.”
Sudi Hasan, yang juga pekerja binaan di Setia Alam berkata dia hanya makan sekali sehari sejak kerajaan mengenakan PKP pada 18 Mac.
Menurutnya semua kerja pembinaan telah ditangguhkan dan syarikatnya tidak memberikan bantuan.
“Kalaulah saya boleh bekerja sambilan, tetapi tidak ada yang dapat saya buat ketika ini. Semua sektor yang tidak penting ditutup.
“Saya hanya makan sekali sehari untuk jimatkan wang. Nasib baik isteri dan anak saya sudah balik awal tahun ini, Kalau tidak saya tidak tahu bagaimana nak bertahan dengan saya tidak bekerja.
Ditanya sama ada mereka mendapat bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh, Sudi berkata setakat ini tiada.
“Setakat ini saya boleh makan lagi, tapi saya masih perlu hantar wang ke kampung. Kalau saya mahu balik pun, macam mana saya nak buat. Saya perlukan simpanan dan untuk itu saya perlu kerja.
“Semua yang tinggal di rumah kongsi ini berdepan masalah sama.”
Seorang lagi pekerja yang enggan dinamakan berkata mereka sudah tidak bekerja hampir sebulan.
“Apa yang kami buat ialah duduk rehat saja dan hubungi keluarga. Kami tak boleh balik walaupun mahu berbuat demikian, kami terkandas di sini,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada mereka menerima bantuan daripada sukarelawan, Abdus berkata setakat ini tiada pihak yang masuk ke Setia Alam untuk membantu pekerja asing di sini.
Abang Abdus, Shaikh Islam yang bekerja di Johor Bahru turut berdepan masalah yang sama, dan menambah beliau dan rakannya kini bimbang dengan masa depan mereka di Malaysia.
“Kami bayar ribuan ringgit untuk datang bekerja di sini. Ada di antara kami yang baru tiba enam bulan lepas.
“Ada antara kami yang cuba simpan duit untuk bayar hutang, tapi sekarang kami terpaksa guna duit itu untuk teruskan hidup.
“Kami cuba mencari jalan lain, tapi nampaknya memang tiada. Kawalan pergerakan bermakna kami tidak boleh ke mana-mana dan jika ditangkap polis, ia akan jadi satu lagi masalah besar kepada kami. Jadi kami duduk saja,” kata Shaikh kepada The Malaysian Insight.
PKP dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 28 April. Ia bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang setakat ini menjangkiti 4,987 orang dan meragut 82 nyawa.
Di bawah PKP, sebarang kerja tidak penting, termasuk pembinaan tidak dibenarkan.

Aduan terus diterima
Kumpulan hak asasi pekerja asing, Tenaganita membertahu The Malaysian Insight, organisasi itu menerima aduan daripada ramai pekerja asing yang kelaparan.
Pengarahnya, Aegile Fernandez berkata, kebanyakan pekerja asing yang terjejas adalah daripada sektor pembinaan dan pembuatan, kerana ia tidak tersenarai sebagai perkhidmatan penting.
“Pekerja pembinaan dan pembuatan terjejas teruk. Mereka tidak boleh bekerja jadi mereka tiada gaji dan mereka tiada wang untuk beli makanan.
“Situasi di kawasan pedalaman lebih teruk berbanding kawasan bandar. Mereka terkandas di kawasan terpencil tanpa bantuan. Sekurang-kurangnya di kawasan bandar ada kumpulan yang mulakan inisiatif untuk bantu pekerja asing.
“Di Tenaganita kami cuba untuk mengesan pekerja asing di kawasan luar bandar yang memerlukan bantuan. Setakat ini kami kenal pasti kumpulan di Kedah, Perak dan Johor,” kata Aegile.
Aktivis veteran itu turut menggesa majikan memberikan bantuan kepada pekerja mereka untuk berdepan situasi ini.
“Kami telah hubungi beberapa majikan dan menerima maklum balas yang baik,” katanya.
Aegile berkata ada pekerja asing yang memaklumkan mereka dibenarkan tinggal di kilang tempat mereka bekerja dan bekalan makanan disediakan.
“Ada kilang yang sudah beroperasi dan pekerja dibenarkan tinggal di tempat kerja. Makanan juga disediakan.
“Bagaimanapun masih ramai lagi yang hidup dalam keadaan susah kerana tiada wang dan bantuan,” tambahnya.
Ada pekerja asing masih bekerja
Mila, 40, dari Indonesia yang bekerja sebagai tukang cuci menganggap dirinya bertuah kerana kerja pembersihan dikategorikan sebagai perkhidmatan penting.
“Syarikat saya masih beroperasi. Saya anggap diri saya bertuah. Saya boleh dapat wang dan teruskan hidup,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ada rakan saya dalam sektor lain sudah tidak bekerja hampir sebulan.
“Mereka sukar untuk bertahan. Kalau ini berlarutan, saya tidak tahu bagaimana mereka akan teruskan.
“Saya mahu bantu mereka, tapi dengan kerja tukang cuci, saya tak banyak boleh bantu,” katanya.
Situasi sama turut dihadapi oleh Dev dari Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Saya sangat bersyukur. Dalam masa yang sama saya rasa kasihan kepada mereka yang tidak boleh kerja dan tiada wang.
“Sangat malang bagi mereka saya tahu mereka kerja keras untuk menyara hidup.
“Buat masa ini, mereka masih bertahan dan boleh beli barangan keperluan, tapi untuk berapa lama,” katanya. – 15 April, 2020.
Komen