SESETENGAH pelajar matrikulasi kecewa dengan keputusan Kementerian Pendidikan membatalkan peperiksaan akhir Semester II sesi pengajian 2019/2020 susulan penularan Covid-19.
Mereka yang ditemubual oleh The Malaysian Insight akur dengan keputusan itu namun bimbang dan tertanya-tanya bagaimana penggredan untuk kelayakan mereka ke universiti nanti.
Pelajar matrikulasi undang-undang Wildan Firdaus, 18, dari Selangor berkata beliau resah memikirkan sama ada beliau layak atau tidak untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.
“Saya sangat kecewa dengan ujian kerana tumpuan mereka ialah peperiksaan sebenar PSPM.
“Jika ini berlaku akan menyebabkan markah kami akan merosot teruk,” katanya.
Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pembatalan peperiksaan semester kedua pengajian program matrikulasi di bawah kendaliannya, sekaligus menamatkan sesi pengajian 2019/2020, selepas tertangguh beberapa kali susulan perintah kawalan pergerakan.
Peperiksaan semester kedua itu sepatutnya digabungkan dengan keputusan peperiksaan semester pertama pada Oktober 2019, bagi penilaian kelayakan masuk ke universiti tahun ini.
Pembatalan peperiksaan ini melibatkan 25,646 pelajar di kesemua 15 pusat matrikulasi di seluruh Malaysia termasuk dua buah kolej Mara, kata kementerian.
Peperiksaan semester kedua matrikulasi sepatutnya bermula pada 30 Mac lalu namun ditunda kepada 9 April dan selepas itu, ditunda sekali lagi sehingga 27 April ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat mengumumkan lanjutan PKP untuk dua minggu lagi berakhir 28 April.
Seorang pelajar matrikulasi aliran sains juga senada, kecewa dengan pembatalan peperiksaan itu.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Asdeque, 19, berkata masa mereka mengulangkaji pelajaran siang dan malam sebelum ini terbuang begitu sahaja.
Keputusan mengejutkan itu juga menyebabkan mereka tidak berpeluang mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada rakan- rakan dan guru selepas tamat pengajian.
Seorang lagi pelajar, Shaikh Shafiq Haiqal Shaikh Ahmad, 18, dari Terengganu mengaku agak ralat mengenangkan perkara tersebut.
Bagaimanapun pelajar aliran sains Nur Diyanah Sadiyo,19, berkata pembatalan peperiksaan itu tidak menjadi isu kerana pelajar dinilai sepanjang masa berdasarkan tugasan dan ujian praktikal sepanjang pengajian semester kedua.
“Saya rasa adil saja sebab dah tidak ada cara lain untuk nilai markah kami dalam keadaan (penularan Covid-19) begini.
“Apa yang diberitahu oleh pensyarah kami markah semester kedua ini akan dibuat berdasarkan tugasan dan ujian praktikal bukan ujian percubaan,” katanya.
Bagi Airis Amira Suhaimi,19, dari Selangor, beliau pada awalnya merasakan tidak adil peperiksaan batal namun melihat itu keputusan terbaik pada ketika ini.
Jelasnya, pelajar juga berdepan dengan kesukaran untuk belajar dari rumah dan ini sudah tentu akan memberi kesan kepada prestasi pelajar.
“Saya memang rasa tidak adil sebab apa fungsinya kita belajar ulangkaji selama ini tapi tidak ada peperiksaan. Tapi saya faham kita tidak bolehlah mementingkan diri semata-mata sebab ini untuk kebaikan semua.
“Sebenarnya dari mula PKP susah untuk belajar di rumah dan saya takut masalah itu akan beri kesan kepada keputusan peperiksaan,” katanya.
Setakat semalam, kes jangkitan Covid-19 di Malaysia mencecah 4,987, tidak sampai unjuran 6,300 kes yang dibuat oleh agensi antarabangsa sebelum ini.– 15 April, 2020.
Komen