MUHYIDDIN Yassin melantik lebih ramai ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengukuhkan sokongan terhadapnya kerana kedudukan beliau sebagai perdana menteri tidak kukuh, kata penganalisis.
“Sokongan majoriti Muhyiddin tidak stabil sejak hari pertama kerajaannya dibentuk. Sokongan ini boleh beralih bila-bila masa,” kata pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM, Dr Lau Zhe Wei.
“Kalau kita lihat komen (timbalan menteri) Siti Zailah Mohd Yusoff mengenai isu perkahwinan bawah umur, kita boleh nampak kerajaan ini tidak tegas apabila sesuatu yang tidak kena berlaku.”
Jelas beliau, Muhyiddin perlukan PAS untuk terus berkuasa, dan kerana itu, terpaksa membiarkan pemimpin parti Islam itu terlepas susulan kenyataannya.
Tidak lama selepas dilantik sebagai timbalan menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Siti Zailah, yang juga ketua Wanita PAS, mempertahankan pendiriannya mengenai perkahwinan bawah umur dan beliau dikecam di media sosial.
Ahli Parlimen Rantau Panjang itu kemudian menutup akaun Twitternya.
Lau mengulas kenyataan seorang lagi menteri PAS, Takiyuddin Hassan minggu ini bahawa semua ahli Parlimen kerajaan yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan akan dilantik untuk menerajui GLC.
“Dengan Bersatu dapat kedudukan yang ketara lebih dalam kabinet, tidak mengejutkan kalau PAS dan Umno mahukan kedudukan dan kuasa yang lebih bagi mereka.
“Mengaitkan habuan politik dengan kuasa politik adalah lumrah di mana-mana di serata dunia tetapi bagi Muhyiddin, beliau perlu mengelak daripada tanggapan tersebut kerana kerajaannya tidak mendapat sokongan rakyat.
“Beliau perlu tunjukkan dahulu kabinetnya cekap tanpa berpolitik,” kata Lau.
Sokongan Muhyiddin diuji
Pengarah eksekutif Ilham Centre, Mohd Azlan Zainal berpendapat “sokongan majoriti ahli Parlimen” untuk Muhyiddin masih jadi pertikaian walaupun ia diterima oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Sokongannya hanya diperolehi secara en bloc melalui parti politik,” katanya.
Namun tidak semua ahli Parlimen dari Bersatu menyokong beliau, tambah Azlan.
Antara yang menentang pelantikannya sebagai perdana menteri termasuk bekas perdana menteri dan pengerusi Bersatu sendiri Dr Mahathir Mohamad. Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik juga tidak bersetuju.
“Muhyiddin perlukan sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 18 Mei ini.
“Parlimen adalah tempat terbaik untuk membuktikan beliau ada sokongan.”
Mengenai pelantikan ahli Parlimen ke GLC, Azlan melihatnya sebagai perancangan besar untuk memastikan perdana menteri ada sokongan.
Katanya, ini usaha Muhyiddin untuk memikat pemimpin Umno yang mengkritik kabinetnya sebelum ini.
“Beliau juga perlu memastikan dapat sokongan penuh ahli Parlimen PAS.
“Kedudukan GLC sepatutnya diberikan kepada individu yang layak yang boleh membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Namun jelas bahawa kedudukan GLC sekarang dimanipulasi untuk meningkatkan sokongan.
“Sumber kerajaan kini boleh disalurkan ke kawasan tertentu untuk menghadapi pilihan raya,” katanya. – 15 April, 2020.
Komen