Rayuan ketua pengarah kesihatan dan perjuangan rakyat


Zainal Rashid Ahmad

SEKADAR peringatan. Dipetik kenyataan dua pemimpin politik Amerika Syarikat (AS) ketika krisis wabak Covid-19 semakin genting di New York dan New Hampshire. Walaupun berbeza parti, nasihat dua gabenor ini kepada semua ahli politik AS, satu peringatan relevan.

Gabenor New York, Andrew Cuomo menasihatkan, dalam menangani Covid-19, bekerjalah dengan mendengar pandangan pakar. Dalam membuat keputusan, rujuk pada fakta berdasarkan realiti angka dan data.

Covid-19 bukan kakasan politik. Pandemik ini bukan simptom ideologi. Pemimpin senior tidak boleh mengaku pandai hanya kerana rekod politik.

Peringatan Gabenor New Hempshire, Chris Sununu lebih serius, terutama ketika kepercayaan rakyat AS semakin merosot terhadap keupayaan negara itu menangani wabak Covid-19.

Sununu dan Coumu menjawab soalan hos CNN John King, ketika diwawancara secara langsung pada 13 April lalu.

Kata Sununu, kerajaan harus bertindak dengan betul bagi mengekalkan kepercayaan awam. Sekiranya masyarakat keliru, disiplin dan komitmen mereka akan merosot.

Ayuh bantu Ketua Pengarah Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah merayu bantuan masyarakat bagi mendapatkan stok  peralatan perlindungan diri (PPE).

Bekalan ini untuk kegunaan petugas kesihatan barisan depan.

Katanya, penggunaan PPE ketika ini mulai meningkat antara dua hingga 10 kali ganda berbanding sebelumnya.

“Setiap hari kita gunakan PPE cara pakai buang, keperluan kini 10 kali lebih banyak daripada biasa.

“Amat penting kita terus mendapatkan PPE sama ada melalui perolehan pusat, kerajaan negeri atau bantuan NGO,” katanya pada Isnin lalu.

Ini rayuan kecemasan KP Kesihatan.

Inilah juga masanya jentera masyarakat bergerak bagi membantu petugas barisan depan.

Walaupun kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April ini, itu bukan bererti rakyat harus bersikap ‘tunggu dan lihat’.

Kempen Zaahirah Mohammad

Tiap barisan depan akan ada tunjang di belakangnya. Tiap kali melihat keazaman petugas kesihatan dan pihak berkuasa, kita pasti berfikir: siapa lagi yang ada di belakang wajah-wajah ini?

Ada. Selain keluarga, petugas barisan depan meneruskan perjuangan kerana sokongan masyarakat.

Zaahirah Mohammad ialah Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson. Sebagai petugas kesihatan, dia antara wajah di barisan depan.

Tidak saja bertugas, Zaahirah turut membina sistem sokongan mendapatkan bantuan PPE melalui media sosial. Satu kolaborasi bagi mengajak masyarakat awam turut serta membantu KKM.

Ketika petugas kesihatan berdepan ribuan pesakit dan belasan ribu ujian Covid-19, Zaahirah menggunakan media sosial untuk meraih dana.

Projek ini turut berusaha mendapatkan bantuan sukarelawan bagi membantu menyediakan peralatan PPE.

Misinya jelas, Zaahirah menyeru sokongan masyarakat menyertai projek amal ini demi keselamatan petugas barisan depan.

“Saya memulakan projek ini cara tidak sengaja. Pada mulanya di kalangan keluarga dan rakan baik. Fokus awal untuk membantu PKD Seremban, tempat saya menjadi sukarelawan sebelum ini,” katanya.

Menyedari keperluan untuk terus membantu, Zaahirah menggunakan Facebook untuk meraih dana dan sokongan bekalan material PPE.

“Pada masa sama, saya menyedari rakan-rakan di hospital, klinik kesihatan dan PKD lain juga memerlukan kain untuk membuat PPE,” katanya.

Sejak itu, kempen Facebook dibuka kepada orang awam untuk menderma dan membantu petugas barisan depan.

“Dana sumbangan kami gunakan untuk menyediakan keperluan PPE seperti pakaian serta alat pelindung muka, kepala dan kaki,” katanya.

Facebook Zaahirah sentiasa mendapat respons positif orang ramai.

Selain dana, kempen ini turut meraikan sokongan tenaga kemahiran bagi membantu kerja menjahit pakaian.

Namun, syaratnya jelas: semua kerja-kerja yang dijalankan mesti mematuhi arahan PKP.

“Ini cara kita memberi semangat agar semua petugas barisan depan kekal tabah dalam menghadapi wabak Covid-19. Paling penting, kita bekerja di rumah dan mematuhi arahan PKP,” jelasnya.

Ditanya mengenai komitmennya sebagai petugas kesihatan, Zaahirah menyatakan keyakinan:

“Kami serius dan komited untuk menang dalam perang menangani wabak Covid-19. Kita jaga kita,” katanya.

Aktiviti kempen ini boleh diikuti di Facebook Zaahirah Mohammad.

Tiba masanya rakyat Malaysia  berdiri teguh di belakang KP Kesihatan. Ayuh, pastikan petugas barisan depan memiliki kelengkapan PPE mencukupi. – 15 April, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen