PAS ingin kuasai 60% undi golongan muda


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi (tengah) akan menggerakan golongan muda untuk melakukan perubahan kepada negara pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2017.

PAS menetapkan sasaran menguasai sekurang-kurangnya 60% undi golongan muda di setiap peringkat negeri dan Parlimen sebagai strateginya meraih 40 kerusi dan lima negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Kami akan memikul tugas menggerakkan anak-anak muda bagi melakukan perubahan kepada negara,” kata Ketua Pemuda Khalil Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Muktamar PAS ke-63 bertempat di Kota Sarang Semut, Kedah.

Khalil yang dilantik menjadi ketua Pemuda baharu menggantikan Nik Abduh Nik Aziz menjangkakan PRU14 menyaksikan pertembungan dua kelompok iaitu golongan memartabatkan Islam dan enggan menerima Islam.

Malah anak kepada Presiden Abdul Hadi Awang ini berkata, meskipun ramai melabelkan PAS sebagai “parti pak lebai” namun parti Islam yang selalu disindir itu sebenarnya lebih bersih politiknya berbanding parti lain.

“Sesungguhnya ‘parti pak lebai’ inilah yang berjaya ‘melebaikan’ golongan profesional dan aktivis serta akan menjadi benteng utama mempertahankan Islam.”

Bagi memperoleh sokongan bukan Islam pula, Khalil menyeru mereka mempelajari Islam.

“Jika anda menerima ideologi timur dan barat, mengapa anda tidak boleh terima Islam?” – 1 Mei, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen