PENGARAH Bahagian Siasatan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Khusairi Yahaya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM yang baharu berkuat kuasa esok.
Ahmad Khusairi, 53, menggantikan Azam Baki yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac lepas, menurut SPRM dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Ahmad Khusairi yang memulakan kerjaya sebagai pegawai siasatan Badan Pencegah Rasuah pada 1992 pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, serta Pengarah SPRM Kuala Lumpur, dan Pengarah Bahagian Perisikan sebelum dilantik sebagai Pengarah Bahagian Siasatan pada 24 Dis lepas.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Pengarah SPRM Johor, Datuk Norazlan Mohd Razali, 56, dilantik sebagai Pengarah Bahagian Siasatan yang baharu bagi menggantikan Ahmad Khusairi berkuat kuasa pada tarikh sama.
Norazlan sebelum ini pernah memegang jawatan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Ketua Staff Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Unit Integriti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). – 14 April, 2020.
Komen