Penghuni Selangor dan Malayan Mansion kini dapat makanan 3 kali sehari


Ravin Palanisamy

Penghuni Selangor dan Malayan Mansion kini mendapat makanan mencukupi disediakan beberapa NGO, yayasan dan syarikat swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2020.

PENGHUNI Selangor dan Malayan Mansion yang terkurung sejak 7 April lalu sudah menerima bantuan makanan tiga kali sehari disalurkan pihak yang bersimpati.

Penduduk yang sebelum ini merungut mendakwa mereka terkurung tanpa sebarang bekalan makanan memberitahu The Malaysia Insight beberapa yayasan, syarikat swasta dan kumpulan masyarakat sivil mula memberi mereka makanan sejak 8 April.

Dua bangunan di Jalan Masjid India itu diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) sejak 7 April selepas 15 kes positif Covid-19 dikesan di situ.

Sehingga hari ini, terdapat 83 kes dikesan di Selangor Mansion dan empat di Malayan Mansion.

Keseluruhannya, terdapat 4,987 kes jangkitan berlaku di seluruh negara dengan 82 kematian.

Keseluruhan kawasan Masjid India juga diletakkan di bawah PKPD hari ini, kawasan kelima diletakkan di bawah kategori itu.

Tajuddin Farook, seorang penghuni Selangor Mansion berkata makanan diberikan kepada penghuni kedua-dua blok dan mereka kini tidak lagi risau dengan makanan.

“Sarapan, makan tengahari dan malam. Tiga hidangan diberikan kepada penghuni kedua-dua blok sekarang. Isu makanan kami diselesaikan dan kami dapat tepat pada masa,” katanya yang sudah menginap di Selangor Mansion selama enam tahun kepada The Malaysian Insight.

Antara hidangan diberikan termasuklah chapati, nasi lemak, nasi goreng kampung, mee goreng dan nasi berlauk.

Penghuni kedua-dua bangunan itu yang kebanyakannya pekerja asing dari India, Bangladesh dan Pakistan sebelum ini mendakwa PKPD dikuatkuasa secara tiba-tiba tanpa memberikan mereka masa untuk menyimpan stok makanan dan keperluan asas lain.

Kata mereka lagi, beberapa hari selepas PKPD dikuatkuasa, restoran berhampiran menyediakan makanan kepada mereka tetapi tidak semua penghuni mendapatnya.

Seorang lagi warga India yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal berkata, hidangan vegetarian juga sekarang disediakan.

“Ada di sini tak makan daging dan kami cukup beruntung dapat makanan vegetarian,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa sebelum ini berkata walaupun “bukan amalan biasa” untuk kerajaan menyediakan bantuan kepada warga asing, kementerian akan berbuat demikian menerusi beberapa kumpulan masyarakat sivil untuk menyediakan makanan kepada 5,000 sehingga 6,000 warga asing di kawasan itu.

Minggu lepas, Annuar berkata Persatuan Gurdwara Sahib Malaysia akan membantu menyediakan makanan vegetarian kepada penghuni bangunan itu.

Selain mereka, NGO lain yang turut membantu termasuklah Bank Makanan Jawi, Yayasan Telugu Malaysia, Yayasan Permai dan beberapa syarikat swasta. – 14 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen