Tiga usul untuk bahas MA63 ditolak


Jason Santos

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah menjawab usul itu hari ini dan menyatakan semakan hak keistimewaan negeri sudah diluluskan dan hasilnya akan dimajukan kepada pemimpin atasan kerajaan persekutuan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2017.

TIGA usul untuk perbahasan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang difailkan pemimpin pembangkang ditolak.
 
Speaker Dewan Undangan Negeri menjawab usul itu hari ini dan menyatakan semakan hak keistimewaan negeri sudah diluluskan dan hasilnya akan dimajukan kepada pemimpin atasan kerajaan persekutuan.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah Junz Wong berkata beliau sudah menjangkakan keputusan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas itu berkata tiada asas untuk menolak usul berkenaan apabila Perdana Menteri Najib Razak turut menggalakkan wacana mengenai MA63 di kalangan rakyat Sabah.

Presiden Solidariti Tanah Airku Sabah Jeffrey Kitingan berkata beliau menerima jawapan daripada Speaker sehari selepas itu, dan berkata keputusan itu “tidak masuk akal”.

“Tiada sebab untuk takut berbincang mengenai MA63 kerana Najib sendiri berkata kita boleh bincangkan mengenainya. Kita akan mendapat banyak kelebihan dengan membahaskan isu itu di sidang dewan,” kata Adun Bingkor itu kepada The Malaysian Insight. 

Jeffrey turut mengesahkan presiden Parti Cinta Sabah yang juga Adun Tamparuli juga menerima jawapan yang sama hari ini. 

Surat jawapan balas itu ditandatangani oleh Speaker Dun Sabah Syed Abbas Syed Ali dan timbalannya Johnny Mositun, yang mana ia turut menyebut tentang enam sebab penolakan itu. 

* Isu berhubung hak Sabah terutamanya perkara yang berkaitan Perkara 112C dan 112D MA63 dan laporan antara kerajaan menjadi keutamaan kerajaan Sabah. 

* Ketika ini, langkah diambil untuk menambah baik situasi sejajar dengan peruntukan di bawah Perkara 112C dan 112D perlembagaan persekutuan sedang dibuat. 

* Kerajaan Sabah telah pun meluluskan semakan semula hak Sabah di bawah MA63 dan dalam mematuhi perlembagaan persekutuan, dan akan membawa hasilnya kepada pemimpin tertinggi kerajaan persekutuan. 

* Justeru Jawatankuasa Semakan Hak Sabah di bawah MA63 sudah menjemput semua parti politik, termasuk daripada pembangkang untuk berkongsi pandangan mereka berhubung perkara yang sama. Semua pandangan baik dan relevan diambil kira oleh jawatankuasa itu. 

* Dewan Undangan Negeri juga telah memberikan perkembangan yang komprehensif mengenai status semakan itu, termasuk kerja yang sudah dilakukan dan proses yang sedang berjalan. 

* Sebagaimana yang disebut sebelum ini, jawatankuasa negeri dan persekutuan telah ditubuh untuk mengkaji perkara itu. Sebagai contoh, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu. Buat masa ini, kajian sudah di peringkat akhir dan memerlukan antara dua dan empat pertemuan dan sidang Dewan Undangan Negeri akan dimaklumkan keputusan itu kemudian. 

Difahamkan Jeffrey sudah memfailkan usul itu pada 3 November, manakala Wong pada 6 November dan Bumburing pada 12 November. 

Menurut Wong, beliau akan terus memfailkan usul itu sehingga sidang Dewan Undangan Negeri memberi perhatian padanya. 

Menteri Luar Anifah Aman yang mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu bersama menteri perundangan Nancy Shukri juga akan bertemu dengan Ketua Menteri Musa Aman untuk menjelaskan mengenai perkembangannya. 

Beliau kemudiannya dilihat meninggalkan bangunan Dewan Undangan Negeri bersama Menteri Tugas-Tugas Khas Teo Chee Kang dan ahli kumpulan MySabah James Ligunjang. – 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen