KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan memperuntukkan RM1 juta untuk membantu golongan gelandangan di sekitar bandaraya ini selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir.
Menterinya Annuar Musa berkata mereka sedang melihat rancangan jangka panjang untuk mereka yang tiada tempat tinggal.
“Ada yang mempunyai masalah dadah. Ada juga berdepan penyakit mental.
“Jadi kita akan memperuntukkan RM1 juta untuk membantu gelandangan,” katanya dalam sidang media harian kementerian itu hari ini.
Terdapat kira-kira 800 gelandangan kini ditempatkan di tempat perlidungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar bandaraya ini sepanjang PKP.
Annuar berkata dana itu juga akan disalurkan kepada kumpulan masyarakat sosial yang dapat membantu kementerian.
“Kita memerlukan mereka yang dapat membantu dari segi kaunseling, pemeriksaan kesihatan, rawatan dan nasihat mengenai masalah kesihatan.
“Mereka akan dimasukkan ke dalam pasukan petugas khas membantu golongan gelandangan,” katanya.
Beliau juga berkata mereka yang sihat dan mampu bekerja akan diberikan pekerjaan.
Annuar juga menggesa sektor swasta untuk bekerjasama dengan kementerian dari segi dana, bantuan atau perkhidmatan.
Minggu lepas Annuar berkata beberapa syarikat bersetuju menyediakan sehingga 700 pekerjaan untuk golongan gelandangan.
DBKL juga sedang menyediakan sebuah asrama untuk gelandangan yang boleh bekerja.
Sekiranya PKP tidak selanjutkan dan berakhir pada 28 April Annuar berkata mereka yang berada di tempat perlindungan dapat mula bekerja seawal 1 Mei.
PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang mencatatkan 4,817 kes pada hari ini dengan 77 kematian. – 14 April, 2020.
Komen