MAJIKAN di kawasan Masjid India yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat hari ini akan diminta berkongsi maklumat pekerja mereka untuk tujuan saringan Covid-19, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Kawasan yang terlibat dalam PKPD yang berkuatkuasa hari ini sehingga 28 April itu adalah Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang.
“Kami meminta kerjasama pemilik perniagaan kawasan ini untuk memberikan maklumat pekerja mereka untuk tampil buat saringan.
“Ini untuk kawal penularan virus. Ada tempat yang disewa pekerja tidak ada dalam senarai kami, jadi kita perlu mereka tampil (bagi maklumat),” kata Annuar pada sidang media, hari ini.
Hampir 3,200 orang tinggal di bangunan Menara City One dan 1,650 orang lagi di Selangor dan Malayan Mansion. Ketiga-tiga bangunan yang terletak berhampiran itu sudah diletakkan di bawah PKPD.
Sehingga sekarang, 88 kes positif Covid-19 dikesan di Selangor dan Malayan Mansion dan 39 kes lagi dikesan di Menara City One.
Anwar berkata terdapat juga hampir 850 orang yang tinggal di kawasan itu, tetapi tidak di bangunan terlibat.
Jawatankuasa Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat untuk membincangkan isu logistik dan menambah tenaga kerja untuk mengawal kawasan PKPD yang diperluas itu, termasuk memberikan bekalan makanan kepada penduduk di situ.
“Kita tak mahu ini jadi macam kluster tabligh Sri Petaling apabila orang pergi ke kawasan lain atau ke luar negara (dan sebarkan jangkitan).
“Kawasan ini di tengah-tengah bandar dan jika tak terkawal, kerja kita akan bertambah,” kata Annuar.
Peluasan kawasan PKPD di Masjid India diumumkan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob selepas nasihat Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, hari ini. – 14 April, 2020.
Komen