PAKEJ rangsangan ekonomi Putrajaya tidak mencukupi untuk merapatkan jurang pendapatan bagi melindungi kumpulan rakyat paling teruk terjejas daripada sekuriti makanan dan kebuluran, terutama kanak-kanak, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata gambaran ekonomi kerajaan perlu diubah untuk menggambarkan “persekitaran luar biasa” yang wujud kerana wabak Covid-19.
“Ketika ini, kepimpinan berkesan bermakna menguruskan krisis dengan penilaian jujur mengenai masalah tanpa perlu berselindung dan membentangkan hanya data terpilih,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung dari kediamannya di Petaling Jaya, hari ini.
Anwar berkata projeksi menunjukkan ekonomi Malaysia mungkin menguncup daripada -1.0% sehingga -4.6% pada 2020, memerlukan “kejujuran menggambarkan” masalah daripada kerajaan.
Tambahnya, kerajaan perlu mengambil “tindakan dramatik dan luar jangka” untuk menyokong ekonomi tempatan, terutama sekali majoriti rakyat Malaysia dan pemilik perniagaan yang tidak mempunyai simpanan untuk bertahan dalam kemelesetan ekonomi yang akan berlaku.
“Optimisme diluahkan Menteri Kewangan(Tengku Zafrul Aziz) berkaitan sebilangan projeksi yang Malaysia boleh memulihkan pertumbuhannya kepada 5.8% pada 2021 adalah bermasalah kerana kita masih tidak tahu sepenuhnya kesan krisis Covid-19, bila ia akan berakhir dan bagaimana ia akan menjejaskan ekonomi yang berkaitan dengan kita,” katanya.
Katanya juga, perintah kawalan pergerakan yang dilaksana untuk menghalang penularan wabak Covid-19 akan dikuatkuasa sekurang-kurangnya enam minggu atau mungkin lebih lama.
PKP mula dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dan sudah dua kali dilanjutkan, kini ia dijadual tamat pada 28 April. – 14 April, 2020.
Komen