PAKATAN Harapan (PH) tidak akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jika Dewan Rakyat dipanggil untuk bersidang bagi membahaskan krisis Covid-19.
“Saya membuat gesaan khusus supaya sidang khas Parlimen diadakan bagi membahaskan tindakan yang perlu diambil berkenaan Covid-19 dan saya beri jaminan bahawa isu usul undi tidak percaya tidak akan dibangkitkan,” kata preside PKR itu dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
Awal bulan ini Anwar mencadangkan supaya Parlimen bersidang untuk membahaskan pakej rangsangan RM250 bilion yang diumumkan Muhyiddin.
Pakej tersebut masih belum dibentangkan di Parlimen.
Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin mengambi alih Putrajaya pada Mac selepas PH tumbang.
Keabsahan kerajaan PN dipersoalkan banyak pengkritik, dan pembangkang menggesa Muhyiddin memanggil Dewan Rakyat bersidang untuk membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan ahli Parlimen.
Anwar hari ini berkata usul undi tidak percaya akan dikemukakan dalam sidang lain, dan menegaskan kerajaan tidak boleh menggunakan isu krisis Covid-19 untuk mengukuhkan kedudukan.
Pada 1 Mac, tidak lama selepas PN diumum sebagai kerajaan baharu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya Parlimen bersidang untuk menentukan sama ada pakatan kerajaan yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Umno itu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. – 14 April, 2020.
Komen