SATU daripada 10 panggilan telefon ke Befriender adalah berkaitan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata organisasi yang menyediakan khidmat sokongan moral.
Pengarah Eksekutif Befrienders KL Kenny Lim memberitahu The Malaysian Insight, kebanyakan pemanggil ini bimbang tentang bagaimana untuk menguruskan hidup ketika PKP, menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak serta menguruskan masalah keluarga.
PKP dikuatkuasakan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang sehingga semalam merekodkan 4,817 kes dengan 77 kematian. Rakyat Malaysia akan berdepan PKP sehingga 28 April.
Lim turut menyatakan kebimbangan perkhidmatan Befrienders digantung berikutan peningkatan kes Covid-19 di Petaling Jaya, mereka daripada golongan berusia yang agak terdedah pada ketika ini, akan berhenti membuat panggilan.
Beliau berharap pemanggil akan menggunakan alternatif lain yang disediakan Befrienders untuk kekal berhubung.
“Pada dua minggu pertama (selepas PKP bermula pada 18 Mac), kami menyaksikan peningkatan panggilan yang diterima.
“Pada tujuh hari pertama, peningkatan sebanyak 13% dan 9% daripada keseluruhan panggilan adalah daripada pemanggil yang meluahkan berkenaan isu berkaitan Covid-19 dan PKP,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya, pada waktu itu, Befrienders menerima kira-kira 100 panggilan sehari.
Namun selepas PKP dilanjutkan sehingga 14 April, permohonan mereka untuk melanjutkan perkhidmatan tidak diluluskan kerana Petaling menjadi kawasan panas Covid-19.
Oleh itu kata Lim, Befrienders terpaksa menghentikan sementara perkhidmatannya dan kini cuba beralih kepada panggilan suara Skype.
Menurutnya, Befrienders tidak mempunyai sebarang statistik selepas minggu pertama kerana penutupan itu.
Panggilan ke Befrienders juga turut mendadak selepas beralih ke Skype kerana masyarakat umum tidak tahu bagaimana untuk menghubungi mereka, kata Lim.

“Ia mula meningkat kerana pengumuman yang dibuat, namun jumlah panggilan masih jauh daripada yang biasa kami terma melalui telefon.
“Dan kebanyakan yang menghubungi kami melalui Skype setakat ini adalah mereka berusia 20-an, diikuti mereka berusia 30-an. Ada beberapa pemanggil berusia 40-an dan hanya sebilangan kecil daripada 50-an.
“Jadi kami kurang menerima panggilan daripada golongan lebih tua yang lebih terdedah pada waktu seperti ini. Mungkin ada yang tidak tahu gunakan Skype atau internet dan mereka yang tiada akses internet,” kata Lim.
Memuat turun aplikasi baharu di telefon bimbit dan mendaftarkan akaun mungkin sukar bagi sesetengah pemanggil.
“Nasib baik, kami masih boleh tawarkan sokongan emosi dengan nombor baharu sementara yang mana panggilan masuk akan dipindahkan kepada sukarelawan kami. Terima kasih kepada MT Microtel Sdn Bhd yang menyokong kami dengan kepakaran mereka.
Rasa putus harapan
Lim berkata, beberapa isu yag dikongsikan oleh pemanggil termasuk kesukaran untuk membiasakan diri dengan perubahan mendadak, rasa terkurung dan konflik keluarga kerana peningkatan tekanan, pesakit mental yang sesi rawatan ditangguh kerana PKP serta kebimbangan bila PKP akan ditamatkan.
“Kebanyakan mereka bimbang dengan kehidupan selepas tempoh PKP tamat. Mereka meluahkan rasa putus harapan yang menyebabkan mereka terfikir untuk bunuh diri.
“Apabila pemanggil menghubungi kami, kami sediakan ruang selamat untuk mereka suarakan masalah - kebimbangan, kerunsingan mereka atau rasa tidak senang yang dialami mereka.
“Dalam kebanyakan masa, mereka tidak mahu luahkan kepada rakan atau keluarga kerana tidak empati atau bersabar untuk mendengar. Adakalanya pemanggil hubungi membuat panggilan hanya untuk bercakap dengan orang yang mereka tidak kena secara rawak,” kata Lim.
Menurutnya, sukarelawan Befrienders dilatih untuk mendengar dan bercakap dengan pemanggil tanpa membuat sebarang penilaian.
“Ini membuatkan pemanggil rasa lebih diterima dan kurang terasing - mereka tidak keseorangan. Kami tidak berikan nasihat atau memberitahu pemanggil apa yang perlu dilakukan.
“Dengan berkongsikan pengalaman yang mereka lalui, ia membantu mewujudkan kesedaran kepada mereka dan memberi gambaran jelas perasaan mereka sendiri dan apa yag dilalui mereka. Dengan ini, mereka akan berasa lebih baik dan akan menemui jawapan untuk masalah mereka,” kata Lim.
Mereka yang memerlukan bantuan atau seseorang meluahkan masalah boleh layari https://www.befrienders.org.my untuk butiran lanjut.
Menyedari situasi itu, Majlis Keselamatan Negara turut melancarkan pusat panggilannya pada Isnin. – 14 April, 2020.
Komen