PENERIMA bantuan makanan di bawah program Bank Makanan Mutiara Pulau Pinang akan menerima makanan dari hotel, tidak lama lagi.
Ini susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini antara kerajaan negeri Pulau Pinang dengan Yayasan Bantuan Makanan bagi mempertingkatkan operasi bank makanan.
“Hotel di Pulau Pinang turut membantu dengan mengagihkan lebihan makanan di dapur mereka,” kata ketua program bank makanan, Saifuddin Nasution Ismail.
Makanan hotel yang sudah siap dimasak akan dibungkus dan dihantar kepada penerima mengikut senarai bank makanan pada hari sama ia dikutip dari hotel.
Sejak diperkenalkan pada Mei, sukarelawan Bank Makanan Mutiara menerima lebihan makanan dari beberapa outlet makanan termasuk pasar raya besar Tesco, yang menyumbangkan sayuran tidak terjual, buah-buahan dan pastri.
“Kadangkala aki terima 800kg makanan dari Tesco. Tetapi ketika perniagaan di Tesco sangat bagus, kami cuma dapat 100kg,” kata Saifuddin.
Sukarelawan Bank Makanan Mutiara akan mengumpul makanan, bawa balik ke pusat kutipan, sama ada di pejabat Adun atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan kemudian menghantarnya ke rumah penerima.
Program itu meliputi 10 kawasan Parlimen, dengan enam di tanah besar yang memanfaatkan kira-kira 7,000 orang.
Pengasas Yayasan Bantuan Makanan Rick Chee, iaitu organisasi yang membantu melatih sukarelawan Bank Makanan Mutiara, berkata makanan yang dikumpulkan – termasuk lebihan penghasilan, sudah hampir tarikh luput atau salah label atau bungkusan rosak – diperiksa kualitinya dan keselamatan terlebih dulu sebelum diserahkan kepada penerima.
Katanya, mengumpul lebihan makanan bermakna “menyelamatkan” makanan itu daripada dibuat demi dan dapat membantu ramai orang lain yang memerlukan makanan untuk diri sendiri dan keluarga.
“Kira-kira 3,000 tan atau sejuta makanan dibazirkan setiap hari. Secara moralnya, salah untuk membuang makanan yang masih boleh dimakan sedangkan masih ramai orang lain memerlukan makanan,” katanya, menambah penyusunan seperti itu turut membantu perniagaan mengurangkan kos pelupusan makanan dan kesan terhadap alam sekitar.
Ketua Menteri Lim Guan Eng yang menyaksikan acara MoU itu di pejabatnya di Komtar hari ini berkata ia langkah pertama dalam meluaskan operasi bank makanan tahun depan.
“Penyertaan Persatuan Hotel Pulau Pinang dan Persatuan Cef Pulau Pinang juga akan membantu menjadikan program itu lebih berjaya,” katanya.
Lim berkata kerajaan negeri kekal komited menjaga kebajikan rakyat, membelanjakan RM23.2 juta sejak 2009 di bawah Agenda Ekonomi Saksama yang bermatlamat untuk menghapuskan kemiskinan. – 20 November, 2017.
Komen