Kementerian bincang alternatif lain bazar Ramadan Khamis ini, kata Annuar


Noel Achariam

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata tiga konsep baharu iaitu pandu lalu, pra-pesan dan penghantaran makanan menerusi e-hailing akan dibincangkan secara terperinci.

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan mempertimbangkan tiga konsep baharu bagi menggantikan bazar Ramadan yang dilarang beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kata menterinya Annuar Musa hari ini.

Tiga konsep iaitu pandu lalu, pra-pesan dan penghantaran makanan menerusi e-hailing akan dibincangkan secara terperinci Khamis ini dengan jawatankuasa khas menteri Covid-19.

“Pagi ini jawatankuasa meminta kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membentangkan tiga konsep.

“Ini kerana ramai yang ingin tahu bagaimana kita nak melaksanakan konsep baharu ini. Jadi pada Khamis ini kami akan bentangkan konsep kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar harian kementerian hari ini.

Annuar berkata beliau sudah menyampaikan konsep baharu kepada Kabinet tetapi tidak secara terperinci.

“Jadi ramai menteri dan ketua agensi ingin melihat konsep baharu ini.

“Seperti perkhidmatan pandu lalu, di mana ia akan dibuat, di mana gerai akan diletakkan, berapa ramai boleh bekerja dan sama ada ia mengikuti kriteria penjarakan sosial,” katanya. 

Awal hari ini Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melarang semua bazar Ramadan dibuka sehingga Perintah Kawalan Pergerakan dibatalkan.

Beliau berkata, keputusan itu muktamad walaupun Kementerian Wilayah Persekutuan sedia mengumumkan pelan untuk meneruskan bazar Ramadan. – 13 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen