Tak perlu UPSR, PT3 agar pelajar tak ketinggalan, kata ibu bapa


Diyana Ibrahim

Pelajar seluruh negara kini belajar menggunakan sistem pembelajaran dalam talian sepanjang PKP dilaksana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2020.

KUMPULAN ibu bapa menggesa pelaksanaan peperiksaan tertentu tahun ini dikaji semula memandangkan sekolah ditutup lama sewaktu wabak Covid-19.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) menggesa demikian bagi peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Menurut persatuan itu, peperiksaan berkenaan sepatutnya dijalankan secara penilaian di sekolah sahaja dan bukan peperiksaan seluruh negara kerana ramai pelajar ketinggalan pada waktu ini.

Kumpulan itu berharap, ia akan membolehkan tumpuan diberikan bagi peperiksaan lebih utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Pengerusi Page Noor Azimah Abdul Rahim berkata ramai pelajar ketinggalan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) waktu ini kerana tidak dapat mengikuti pelajaran dalam talian.

“UPSR dan PT3 perlu dikaji semula untuk tahun ini, mungkin (laksana) penilaian berasaskan sekolah tanpa peperiksaan kebangsaan… agar fokus dan keutamaan diberikan kepada kohort SPM dan STPM,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penilaian di sekolah tanpa peperiksaan itu sudahpun mula dilaksana sejak tahun lalu melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk murid Tahap Satu sekolah rendah.

Dengan kaedah itu, pelajaran ditumpukan kepada perkembangan pembelajaran murid dan tidak lagi kepada penekanan peperiksaan.

Sewaktu PKP yang bermula 18 Mac lalu seluruh negara, kesemua sekolah ditutup dan kementerian mengeluarkan hanya mengeluar garis panduan untuk membantu ibu bapa dan guru menyelia pelajar.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) itu mendapati ia menekan ibu bapa dan guru terbabit.

Mereka antara lain terpaksa bergelut dengan pembelajaran dalam talian dihadapi dan pada masa sama menyelesaikan pelbagai tanggungjawab lain di rumah.

Panduan itu juga banyak menekan golongan di pedalaman dengan liputan internet dan juga keluarga yang mempunyai peralatan komputer terhad.

Banyak masalah boleh wujud dalam pembelajaran dalam talian antaranya kekurangan peranti misalnya komputer yang terpaksa dikongsi ibu bapa dan anak-anak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2020.

Semua pihak perlu mainkan peranan

Mengulas perkara itu, Noor Azimah berkata kerajaan perlu menumpukan kepada aspek menyediakan akses internet yang baik, peranti untuk pembelajaran dan aplikasi pendidikan tertentu.

Selain itu guru yang berkemahiran perlu disediakan untuk melaksanakan pembelajaran di atas talian dengan efektif dan lancar.

Beliau mengakui banyak isi rumah mempunyai peralatan terhad, contohnya sebuah telefon pintar atau satu komputer sahaja untuk kegunaan ibu bapa untuk bekerja.

Oleh itu, semua pihak termasuk kerajaan, ibu bapa, sekolah dan pihak swasta perlu dilibatkan untuk menjayakannya, kata beliau.

“Ini akan meningkatkan kejayaan pembelajaran atas talian agar dijalankan dengan terbaik dan lebih menyakinkan.

“(Kita mahu) prestasi pelajar tidak terjejas, tidak berlaku penurunan dan yang penting tiada yang ketinggalan, tercicir kerana tidak berkemampuan atau terkecuali kerana tiada akses.

“Kementerian perlu merancang, dan merancang secara serius untuk e-pembelajaran di ambang krisis,” katanya.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia  Dong Zhong Ng Chai Heng juga senada dan berharap semua pihak membantu menjayakan pembelajaran dari rumah.

“Bayangkan ketika pandemik berlaku, sekolah perlu mempunyai sokongan yang penuh dari komuniti, soalnya sekarang adakah kita punyai semangat itu di negara ini.

“Bila kita berdepan dengan krisis ini, kita tidak boleh mengharapkan kerajaan sahaja berdepan dengan isu ini semata- mata. Sokongan dari komuniti akan sangat membantu,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar sistem pendidikan dirombak semula dan sekolah perlu mempunyai autonomi dalam operasi pendidikannya termasuk dalam memberi latihan guru.

Bagaimanapun beliau berkata kesemua aspek itu mungkin sukar dilaksanakan ketika ini memandangkan sumber yang terhad.

“Jika kita mempunyai liputan internet yang terbaik pun tapi kita masih kekurangan sumber.

“Majoriti sekolah masih lagi tidak bersedia dengan perubahan ini termasuklah pihak sekolah dan guru,” katanya.

PKP dilanjutkan untuk peringkat ketiga bermula 15 hingga 28 April bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. – 13 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen