ENAM lelaki yang dituduh membunuh timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais diarah untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Pihak pendakwa dapat membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama, ahli patologi tentera Kol Dr R. Kunaseegaran, 54, yang merupakan tertuduh pertama, serta lima tertuduh yang lain.
Lima tertuduh terbabit adalah R. Dinishwaran, 25; AK Thinesh Kumar, 24; M. Vishwanath, 27; S. Nimalan, 24; dan Ravi Chandaran, 46.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan pembunuhan yang berlaku antara Jalan Dutamas Raya Sentul ke No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Hakim Azman Abdullah mengarahkan tertuduh membela diri hari ini selepas kesaksian oleh 70 saksi pendakwaan telah lengkap.
Pada pendengaran kes, mahkamah diberitahu bahawa Morais merupakan timbalan pendakwa raya yang mendakwa Dr Kunaseegaran dalam kes rasuah.
Mahkamah akan mendengar hujah pembelaan pada 18, 19 dan 21 Januari dan 22, 23 Februari depan.
Dr R. Kunaseegaran diwakili peguam bela N. Sivanathan dan Jay Moy Wei Jiun, R. Dinishwaran dan A.K. Thinesh Kumar diwakili M. Manoharan dan Chua Li Li manakala M. Vishwanath, S. Nimalan dan S. Ravi Chandran diwakili V. Rajehgopal dan Shiva Kumar.
Pengawai penyiasat dalam keterangan saksi ketika perbicaraan pada September memberitahu mahkamah, dia mempunyai asas yang kuat untuk mengaitkan lelaki terbabit dengan pembunuhan timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais dua tahun lalu.
ASP Wan Abdullah Wan Said berkata, mangsa (Morais) yang merupakan pegawai timbalan pendakwa raya yang mendakwa tertuduh (Dr Kunaseegaran) dengan beberapa kes rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
“Tertuduh bimbang dia terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk semua kes itu,” katanya.
Mayat Anthony Kevin Morais ditemui disimen dalam sebuah tong dram di Subang Jaya pada 16 September, 12 hari selepas kehilangannya dilaporkan oleh ahli keluarganya.
Polis hanya mengesahkan identitinya berdasarkan keputusan ujian DNA tiga hari kemudian.
Morais kali terakhir dilihat pada 4 September ketika meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke tempat kerjanya di Putrajaya dengan memandu sebuah kereta Proton Perdana bernombor pendaftaran WA6264Q.
Kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai kes culik namun diklasifikasikan semula selepas mayat Morais ditemui.
Tujuh lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes pembunuhan itu ditahan.
Kesemua mereka didakwa di mahkamah pada 28 September, 2015.
Salah seorang tertuduh G. Gunasekaran, 49 yang didakwa tas kes pembunuhan itu dijatuhkan hukuman penjara dua tahun pada 20 Disember tahun lalu selepas dia mengaku bersalah menyembunyikan mayat Morais dan melupuskan kereta mangsa dengan niat untuk melindungi tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Jalan Dutamas 1, Sentul dan ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang di Hilir Perak, antara jam 7 pagi, 4 September, 2017 dan jam 2 pagi hari berikutnya.
Dia kemudiannya menjadi salah seorang saksi pendakwaan. – 20 November, 2017.
.jpg)
Komen