PM digesa buktikan ahli Parlimen layak pegang jawatan dalam GLC


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin disaran komited dengan piawaian ditetapkan GTP dalam membuat lantikan untuk GLC dan agensi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2020.

ANGGOTA pengasas dan penasihat kumpulan bekas penjawat awam kanan G25, Mohd Sheriff Mohd Kassim menyeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan langkah yang diambil untuk memastikan pelantikan politik memenuhi “kriteria sewajarnya” bagi mengukuhkan sistem tadbir urus dalam perusahaan sektor awam.

Sheriff merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan semalam yang semua anggota Parlimen akan diberikan jawatan dalam syarikat dan agensi berkaitan kerajaan, dengan mengatakan “mereka layak”.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sheriff berkata Muhyiddin perlu komited terhadap piawaian ditetapkan dalam Program Transformasi GLC (GTP) yang dilancarkan pada 2005.

“Perlu diingatkan GTP dilancarkan ketika tahap keyakinan yang sangat rendah terhadap pengurusan ekonomi kerajaan.

“Walaupun GTP tidak menghalang 1MDB dan skandal lain daripada berlaku, namun ia masih relevan sebagai alat dasar untuk memastikan penyertaan kerajaan dalam ekonomi melalui GLC dikawal oleh standard tadbir urus korporat yang tinggi.

“Saya berharap perdana menteri akan memberikan penjelasan kerana ia akan menentukan sama ada sektor swasta akan terus yakin dengan Malaysia selepas kita berjaya menyelesaikan wabak koronavirus.”

Terdahulu hari ini, bekas menteri Rafidah Aziz menyelar kerajaan Perikatan Nasional kerana berbicara mengenai “jawatan selesa untuk semua orang di dalam geng kita” ketika negara bedepan pandemik.

Rakyat akan menanggung akibat tindakan kerajaan memberi semua jawatan kepada ahli Parlimennya dalam syarikat dan agensi berkaitan kerajaan, katanya. – 13 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen