PENGGIAT filem mahu kerajaan memberi perhatian serius kepada kesan penularan Covid-19 ke atas perfileman tempatan, susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyekat segala aktiviti mereka termasuk tayangan filem di pawagam.
Mereka yang dihubungi The Malaysian Insight mahu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) membantu pihak produksi yang terkesan kerana filem tidak boleh ditayang di pawagam kerana PKP.
Sekurang-kurangnya lapan filem dijadual masuk panggung sepanjang tempoh PKP antara 18 Mac hingga 28 April ini. Tujuh pula sedang ditayangkan di pawagam ketika PKP pertama kali dikuatkuasakan, termasuk empat yang masih berbaki tempoh tayangan di bawah skim wajib tayang.
Skim wajib tayang mensyaratkan pempamer iaitu pawagam menayang sesebuah filem yang diluluskan untuk tayangan selama 14 hari berturut-turut. Skim itu bertujuan melindungi filem tempatan daripada ditelan oleh filem asing yang mungkin lebih popular dalam kalangan penonton.
Pengarah Muzzamer Rahman berkata filemnya “Takut ke Tak?”, yang sepatutnya mula ditayang pada 2 April lalu, ditangguhkan ke satu tarikh yang belum tentu.
Sebuah lagi filem arahannya, “Prebet Sapu” dijangka akan masuk pawagam pada Oktober ini, namun mungkin juga akan ditangguh, katanya.
Muzzamer berkata sebagai pembikin filem beliau sangat berharap kedua-dua hasil karyanya ditayang di pawagam, namun akur kalau terpaksa ditayang di televisyen untuk mengelak penerbit rugi.
“Sejujurnya, saya tidak mahu filem ini ditayangkan melalui platform penstriman. Saya lebih mahu orang datang ke panggung, tengok ramai-ramai dalam gelap… perasaannya lain bagi pembikin filem.
“Tapi kalau tayangan penstriman ini boleh bantu produksi dan kurangkan kerugian serta tiada jalan lain lagi, saya reda,” kata graduan filem dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) ini.
Muzzamer pernah dipilih sebagai karyawan muda harapan Anugerah Filem Digital Malaysia pada 2015 melalui filem pendek Nadia. Beliau adalah penerbit eksekutif filem pendek arahan Bebbra Mailin, Ninavau, yang menang filem pendek terbaik di Anugerah Filem Digital Malaysia tahun lalu.
Ditanya harapan atau jangkaannya selepas PKP berakhir, Muzzamer sedar penonton mungkin tidak ramai akan ke pawagam, sekiranya pawagam kembali dibuka, kerana bimbang dijangkiti Covid-19.
“Di sinilah Finas boleh mainkan peranan untuk tarik semula orang ramai menonton di pawagam.
“Finas boleh bantu dengan wujudkan panggung khas untuk filem tempatan, dengan tiket lebih murah melalui subsidi atau cukai hiburan lebih rendah.
“Finas perlu wujudkan panggung wayang alternatif yang hanya sediakan filem-filem tempatan,” katanya.
Antara filem yang tersangkut tidak dapat ditayangkan sekarang kerana PKP termasuk dokumentari mengenai pasukan bola sepak paralimpik Malaysia, “Eye on the Ball” yang sepatutnya ditayang pada 19 Mac, dan filem komedi “Kenderaan Berat Ikut Kiri” yang dijadual tayangannya bermula 26 Mac.
Apa Finas buat?
Sementara itu, pengarah dan penulis lakon layar Al Jafree Md Yusof berkata apa yang berlaku sekarang mendedahkan satu lagi kelemahan Finas, yang tidak membuat persiapan memadai untuk membangunkan sinema Malaysia.
Beliau memberi contoh badan pembangunan filem di Argentina, yang mempunyai platform penstrimannya sendiri, yang menayangkan produksi terkini dan arkib secara langganan.
“Ini perancangan yang berpandangan jauh, yang boleh dipakai apabila berlaku keadaan darurat seperti sekarang.
“Finas, baik yang lama atau baharu, tidak pernah mengambil langkah jangka panjang yang mempersiapkan industri untuk menghadapi keadaan seperti sekarang,” katanya.
Beliau berkata persediaan itu mungkin tidak menyelesaikan 100% masalah penggiat filem semasa PKP tetapi sekurang-kurangnya industri bersiap sedia.
“Netflix, iflix atau Amazon Prime adalah syarikat perniagaan. Mereka ada kriteria untuk filem ditayangkan. Tak semua diterima, mungkin lebih cerewet,” tambahnya.
Beliau juga hairan mengapa sehingga ke hari ini Finas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pengumuman bagi membantu beberapa filem tempatan yang ditangguhkan tayangannya susulan penularan Covid-19.
Pengerusi Finas Hans Isaac sebelum ini mengumumkan Festival Filem Malaysia ke-31 yang sepatutnya berlangsung di Melaka pada 18 April ditangguh ke satu tarikh baharu yang akan ditetapkan nanti.
“Finas patut fikir penyelesaian terbaik sebab ada kemungkinan keadaan ini berlarutan lebih enam bulan.
“Kalau Covid 19 sudah pulih pun, keyakinan penonton mungkin berkurangan sebab fikir tentang keselamatan. Langkah ini perlu didahului oleh Finas,” katanya.
Al Jafree akur filem arahannya Mencari Rahmat, yang dijadual masuk pawagam pada Jun ini, juga terjejas namun beliau sedia menunggu kerana filem itu sendiri pun sudah siap sejak 2017 lagi.
Tunggu Covid-19 selesai
Bagi pengarah urusan Kuman Pictures, Amir Muhammad, beliau menunggu tarikh tayangan baharu daripada Unit Wajib Tayang di Finas selepas filem seram “Roh” terbitannya tangguh tayangan.
Roh, arahan Emir Ezwan dan dilakonkan oleh suami isteri Namron dan Junainah M Lojong, sepatutnya mula ditayang pada 19 Mac, tiga hari sebelum perdana menteri mengumumkan PKP.
“Bagi pihak produksi, kita rugi daripada segi promosi, poster, dan malam gala filem,” katanya, merujuk tayangan perdana Roh di Kuala Lumpur pada 5 Mac lalu.
“Untuk tayangan semula, kita akan promosikan sekali lagi dan umum tarikh baru. Kami harap, tahun ini juga filem Roh dapat ditayangkan. Lambat sikit pun tidak apa,” tambahnya.
Amir juga memberitahu sebuah lagi filem terbitan Kuman Pictures iaitu filem Tamil bertajuk Irul sepatutnya ditayangkan hujung tahun ini tetapi mungkin akan ditangguhkan sehingga tahun depan.
Pawagam berjaga-jaga
Sementara itu, pempamer filem terbesar di Malaysia, Golden Screen Cinemas (GSC) yang dihubungi oleh The Malaysian Insight memberitahu mereka akan mengubah beberapa amalan sebelum ini sekiranya pawagam dibenarkan dibuka semula.
Ketua Pegawai Eksekutif GSC Koh Mei Lee berkata selain pembersihan melalui sanitasi dan nyah kuman, pihaknya juga akan memperbaiki tatacara penjualan tiket dan aturan tempat duduk penonton.
“Kita akan amalkan sistem jarak yang selamat di seluruh pawagam, dari kaunter dan kiosk tiket sampailah ke kaunter makanan dan panggung.
“Kita akan pastikan penonton menjaga jarak di semua tempat duduk, kiri dan kanan serta depan dan belakang,” katanya, dalam jawapan bertulis kepada The Malaysian Insight.
“Kita juga akan sediakan cecair pembasmi kuman di pawagam.”
GSC mempunyai 361 skrin di 37 pawagam di seluruh Malaysia, diikuti TGV Cinemas yang tidak sampai 300 skrin, berdasarkan laporan pada 2019. Kedua-dua pawagam, dan semua rangkaian pawagam lain, menghentikan operasi serta merta selepas kerajaan menguatkuasa PKP.
Koh berkata kebanyakan filem yang dijadual ditayang antara Mei hingga Julai sudah ditangguhkan. Filem itu mungkin ditayang semula tahun ini atau tahun hadapan, katanya.
GSC juga menangguhkan tayangan 19 filem dalam Festival Filem Perancis ke-19 yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu antara 19 Mac hingga 26 April.
“Peminat filem akan mengambil masa untuk kembali yakin menonton filem di panggung wayang selepas krisis ini.
“Tetapi dengan langkah pencegahan yang kita ambil, diharapkan orang ramai akan kembali percaya untuk tonton filem di pawagam,” tambahnya.

Sementara itu, Hans Isaac dilaporkan berkata badan itu kini sedang berusaha untuk memberi pinjaman kepada penerbit dan memastikan Dana Kandungan Digital dimanfaat sepenuhnya.
Laporan Astro Awani menyebut, beliau berkata Finas memohon peruntukan Kementerian Kewangan untuk disalur sebagai pinjaman kepada penerbit yang mempunyai kontrak dengan stesen televisyen.
“Pinjaman ini mungkin akan dikenakan kadar faedah rendah atau tiada faedah langsung, tidak seperti bank atau dana lain yang mengenakan faedah yang tinggi.
“Ini cadangan awal dan tertakhluk kepada kelulusan yang lebih lanjut,” katanya, menambah pinjaman jangka pendek tersebut akan dikembalikan kepada kementerian selepas tiga tahun.
Manfaat Dana Kandungan Digital pula untuk memberi peluang kerja sebanyak mungkin kepada pemain industri, katanya yang merujuk kepada dana RM20 diperuntukkan dalam Belanjawan 2020.
“Ia akan dilaksanakan dengan cepat untuk memastikan indutsri terus bergerak,” katanya yang berharap semua persatuan berkaitan filem dinaungi Finas untuk memudahkan bantuan diberikan. – 13 April, 2020.
Komen