WALAUPUN tempahan untuk bawa pulang dan penghantaran meningkatan, pengusaha sektor makanan masih bergelut mencari pendapatan kerana margin keuntungan mereka merosot sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Pemilik kedai makan memberitahu The Malaysian Insight walaupun sebahagian mereka meneruskan perniagaan dalam keadaan operasi yang minimum sepanjang PKP, ada juga pengusaha yang berdepan risiko menutup perniagaan secara kekal.
Malaysian F&B Operators’ Alliance (MyF&B) berkata perniagaan mereka merosot hingga 8-% ketika tempoh PKP, dan hampir 30% perniagaan mungkin ditutup terus susulan PKP dilanjutkan.
“Pengusaha bimbang pelanggan tidak akan datang kembali ke restoran walaupun selepas PKP tamat kerana ia tidak semestinya bermaksud wabak itu sudah berakhir.
“Kami menjangkakan enam bulan akan datang ini amat mencabar untuk industri ini,” kata jurucakap MyF&B Joshua Liew.
MyF&B terdiri daripada kira-kira 900 pengusaha mewakili 600 jenama.
Liew berkata menurut ahli, restoran, 30% perniagaan makanan dan minuman mungkin ditutup kerana mereka masih perlu membayar sewa dan gaji pekerja, dengan pendapatan yang hampir tiada.
Kerajaan mengumumkan PKP pada 16 Mac, bagi tempoh 18 Mac hingga 31 Mac bagi membendung penularan Covid-19. PKP kemudian dilanjutkan dua kali, pertama hingga 14 April, dan sekarang hingga 28 April.
PKP dikuatkuasakan bagi membantu memerangi penularan koronavirus yang boleh membawa maut di negara ini.
Semalam, 153 kes jangkitan baharu dikesan di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan to 4,683, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Terdapat 113 kes pulih, menjadikan jumlah pesakit dibenarkan keluar hospital seramai 2,108 atau 45% daripada jumlah jangkitan.
Tiga pesakit meninggal dunia semalam, menjadikan jumlah kematian 76 orang.
Liew, yang juga CEO Espresso Lab berkata rangkaian kafenya tidak dibuka sepanjang PKP kerana kopi dianggap bukan minuman asas yang penting.
“Dalam fasa kedua PKP, jam operasi restoran ditetapkan 8 pagi hingga 8 malam, tetapi mereka perlu tutup pada 6 petang untuk memulakan proses mengemas dan membersihkan kedai,” katanya.
Beliau berkata ahli MyF&B pada masa ini sedang mengkaji bagaimana restoran di Wuhan memulakan kembali perniagaan selepas perintah berkurung tamat. – 14 April, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen