PENDUDUK kampung Sungai Lui di Hulu Langat kecewa kerana sukar mendapat bekalan makanan dan keperluan asas sejak kampung itu dikawal ketat sejak hujung Mac lalu.
Adun kawasan tersebut, Edry Faizal Eddy Yusof tidak menolak puncanya daripada kelemahan penyelarasan dalam pengagihan makanan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasa di situ.
Adun Sungai Tua itu berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya membekalkan makanan asas sahaja mengikut prosedur walhal penduduk memerlukan barangan lain seperti barang basah.
Selain itu, terdapat juga kes bekalan daripada NGO lambat diagihkan kepada penduduk, katanya.
“Ada pihak yang hantar makanan tapi semua bekalan kena letak di bilik gerakan jadi ia bergantung kepada agensi bagaimana mereka mengagihkan bekalan makanan
“Dan di sini ada benda tak jelas dan bagi pihak yang memberi pun tidak jelas bagaimana pengagihan. Saya dimaklumkan pengagihan dibuat secara berkala.
“Sebab itu kita minta tolong kerajaan lebih cekap dalam isu pengedaran,” katanya kepada The Malaysian Insight.
PKPD yang dikuatkuasa daerah tersebut sejak 30 Mac meliputi tujuh penempatan dari Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui.
Ia susulan pengesanan 71 kes positif Covid -19 di kalangan pelajar di sebuah sekolah tahfiz di situ, yang berpunca daripada kes indeks jemaah tabligh Seri Petaling.
Dengan perintah kawalan lebih ketat itu, kesemua 3,918 penduduk diarah berkurung di rumah bekalan makanan dan keperluan asas hanya akan dibekalkan oleh agensi kerajaan.
The Malaysian Insight difahamkan keputusan untuk melanjutkan PKPD di dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu itu akan tamat esok akan diputuskan kerajaan hari ini.
Justeru, Edry berkata kerajaan harus menyelesaikan isu tersebut termasuk memberi sedikit kelonggaran membekalkan makanan lain yang diperlukan penduduk selain barangan asas
“Apa yang kita takut, banyak baragan sampai sebab orang dermawan kasi bantuan tapi penduduk tak dapat.
“Jadi akan timbulkan keresahan kepada penduduk sebab mereka nampak ada bekalan makanan tapi tak sampai pada mereka.
“Jadi saya minta kerajaan jangan timbulkan keresahan penduduk yang sudah sedia ada resah,” katanya.
Edry berkata sebagai wakil rakyat kawasan itu, beliau sedaya upaya menghulur bantuan dengan sumber terhad untuk menghulurkan bantuan dengan memberi bekalan makanan seperti ayam dan telur.
Hanya dua kali bekalan makanan diberi sejak PKPD dikuatkuasa
Isu tersebut disahkan seorang ketua kampung, Mohd Razak Jamaluddin yang berkata penduduk hanya menerima bekalan sebanyak dua kali daripada JKM sejak PKPD berkuatkuasa.
Beliau yang merupakan ketua Kampung Batu 21, 23, 23 dan 24 berkata penduduk juga merungut kerana barangan diberikan tidak praktikal.
“Nak kata susah dapat bekalan tak juga. Cuma pengagihan itu tak selaras dan benda yang diberikan, kita tak boleh nak buat apa
“Contoh mereka bagi beras, sardin, tepung. Tapi minyak tak bagi, bawang cili tak ada jadi macam mana penduduk nak masak,” katanya.
Keadaan itu sukar kerana penduduk di kawasan bawah PKPD tidak dibenarkan keluar sama sekali dari rumah untuk mendapatkan bekalan dari kedai, dan orang luar juga tidak dibenarkan masuk.
Beliau berkata biarpun ada bantuan makanan lain daripada NGO, bekalan barang basah terhad dan tidak semua penduduk akan menerimanya.
Razak berkata ketika ini beliau agak lega kerana penduduk masih lagi tidak panik dan keadaan masih terkawal walau berdepan dengan masalah itu.

Namun katanya tidak dapat menjangkakan sampai bila penduduk boleh bertahan terutama jika kerajaan membuat keputusan untuk memanjangkan lagi tempoh PKPD.
Perkara sama juga diluahkan penduduk Sungai Lui dari Kampung Batu 23, Nurul Asyikin Yodin yang kecewa kerana barangan yang diberikan JKM tidak cukup lengkap.
“Makanan asas memang ada, tapi tak cukup. Sebab ada orang yang perlukan minyak masak, ada yang perlukan telur dan bawang.
“Dan ada juga yang pihak lain bagi bantuan, tapi tak semua penduduk dapat. Jadi biasanya penduduk sepakat akan dahulukan mana keluarga yang memerlukan,” katanya.
Nurul berkata penduduk juga kini dalam keadaan resah apabila mengetahui seorang penduduk kampung positif Covid-19.
“Baru minggu lepas kita dapat tahu. Itu pun selepas buat saringan warga emas dekat penduduk, jadi memang penduduk panik sekarang ini,” katanya.
Ditanya adakah kesemua penduduk menjalani saringan selepas kawasan itu distiharkan zon merah Nurul berkata hanya warga emas dan bergejala saja yang diminta melakukan ujian.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam ketika ditanya menyatakan, sebanyak 1,000 bakul makanan sudahpun diagihkan ke kawasan bawah PKPD di Hulu Langat.
Bakul makanan itu merupakan set bantuan mengandungi barang keperluan asas seperti beras dan gula.
Kementerian Kesihatan semalam mengumumkan tiga lagi kematian baharu akibat Covid-19 semalam, salah seorang daripadanya dari daerah Hulu Langat.
Kematian itu meningkatkan angka korban menjadi 76 orang, iaitu 1.62% daripada jumlah jangkitan seluruh negara setakat ini.
Sehingga semalam, sembilan kes baharu juga dikesan di Hulu Langat, menjadikan jumlah 396 kes di kawasan PKPD itu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, 2,499 kes aktif Covid-19 sedang dirawat dengan 66 daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.
Seramai 37 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 13 April, 2020.
Komen