3 lagi korban Covid-19, 153 kes baharu, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Petugas kesihatan lengkap berpakaian PPE sebelum melakukan tugas mereka membendung Covid-19. Angka kematian terus meningkat kepada 76 orang setakat 12 April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2020.

MALAYSIA mencatatkan 153 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada 4,683, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya kes pulih juga meningkat kepada 2,108 atau 45% daripada keseluruhan kes selepas 113 kes pulih direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas dan mereka dibenarkan pulang.

Namun tiga lagi korban dicatatkan dengan angka kematian kini meningkat kepada 76 orang atau 1.62% kadar kematian.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 2,499 kes aktif Covid-19 kini sedang dirawat dengan 66 daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 37 lagi perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

Daripada tiga kematian baharu itu, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 54 tahun yang mempunyai sejarah penyakit diabeters,  darah tinggi dan buah pinggang.

Mangsa mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan pada 11 April dan disahkan meninggal dunia pukul 1.50 pagi hari ini.

Kematian ke-75 melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 90 tahun yang meninggal dunia pukul 5.23 pagi hari ini di Hospital Taiping, Perak. 

Mangsa dimasukkan ke hospital itu pada 1 April dan mempunyai sejarah penyakit diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

Seorang wanita berusia 47 tahun menjadi korban ke-76 selepas disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pukul 7.36 pagi hari ini.

Mangsa mendapatkan rawatan di hospital itu pada 8 April dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi. – 12 April, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen