KEMENTERIAN Pembangunan Wanita dan Masyarakat sudah menetapkan talian hotline dan mesej untuk mangsa penderaan domestik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Ismail Sabri hari ini.
“Telefon Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp 0192615999 dengan segera jika anda mengalami penderaan domestik.
“Kementerian menubuhkan helpline dengan kerjasama polis, aduan akan dibawa ke polis dan anda boleh membuat laporan menggunakan WhatsApp,” kata Ismail pada sidang akhbar hariannya hari ini.
Kementerian itu baru-baru ini dikritik kerana mencadangkan kepada golongan isteri untuk bersabar dengan pasangan mereka yang melakukan penderaan.
Sisters In Islam (SIS) semalam mengutuk timbalan menteri Siti Zailah Mohd Yusoff berkenaan video kontroversi yang mencadangkan wanita untuk “menerima, bersabar dan memaafkan” pasangan yang melakukan keganasan.
SIS berkata mesej di dalam video berkenaan tidak dapat diterima dan tidak sepatutnya dibuat oleh seorang pegawai awam di kementerian ditugaskan untuk melindungi wanita.
Siti Zailah, seorang menteri daripada PAS memberikan nasihat kepada pasangan suami isteri untuk mengendalikan tekanan sepanjang tempoh PKP ini.
Menurut The Malay Mail beliau berkata isteri seharusnya memikirkan “1,000 kelebihan” suami, ucapkan terima kasih dan memaafkan antara satu sama lain.
Bagi umat Islam beliau mencadangkan mereka mengambil wudhu untuk menenangkan diri ketika berasa marah.
Sebelum ini kementerian yang sama mencadangkan wanita menggunakan suara watak kartun Doraemon ketika meminta pertolongan daripada suami mereka.
Saranan kedua ditolak dan kementerian terpaksa memohon maaf kerana mengemukakan cadangan seperti itu untuk menghindari konflik antara pasangan berkahwin. – 12 April, 2020.
Komen