Kerajaan laksana skim kekang kenaikan harga barang, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Setakat 11 April, KPDNHEP menerima lebih 8,000 aduan berhubung kenaikan harga barangan sejak PKP dilaksanakan di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2020.

KERAJAAN akan melaksanakan Skim Harga Maksimum bagi membendung kenaikan harga barang keperluan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata skim itu yang mula dikuatkuasakan  bermula pada 15 April, akan dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengawal harga barangan.

Beliau berkata langkah berkenaan diambil bagi mengelak mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan menaikan harga barang keperluan.

“Mungkin ada peniaga yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan menaikkan harga, oleh itu, keputusan mesyuarat hari ini, KPDNHEP akan melaksanakan Skim Harga Maksimum.

“Biasanya Skim Kawalan Harga atau Skim Harga Maksimum hanya dilaksana sewaktu musim perayaan, tetapi kita telah putuskan tadi tak perlu tunggu musim perayaan, masuk saja PKP (fasa) 3 Skim Harga Maksimum mesti dilaksanakan, senarai produk tersebut akan diumumkan KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata stok bekalan makaman juga lebih daripada mencukupi di seluruh negara.

“Tidak perlu panik kerana tinjauan yang kita jalankan mendapati semua barang mencukupi dan tidak berlaku kekurangan bekalan,” kata Ismail pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
 
Ismail berkata KPDNHEP sudah menerima 8,145 aduan dari orang awam sejak 15 Mac hingga 11 April.

Beliau menggesa orang ramai untuk terus melaporkan kepada kementerian semasa pelaksanaan PKP fasa ketiga tentang isu bekalan.

“Orang ramai boleh menelefon, WhatsApp atau menghantar laporan menerusi laman web rasmi kementerian,” katanya. – 12 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen