BUKAN kejutan apabila Jabatan Perangkawan Malaysia mendapati 76,372 orang kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh Covid-19 melanda negara. Angka ini merujuk pada impak setelah Perintah Pergerakan Terhad (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Angka kehilangan pekerjaan ini mewakili 46.6% daripada 168,182 responden yang menyertai ‘Kajian Khas Kesan Covid-19”.
Jumlah pekerja di negara ini hampir 15 juta orang.
Kajian yang dibuat pada 23 hingga 31 Mac, turut mendedahkan, 71.4% responden yang bekerja sendiri tidak mampu menanggung kos kehidupan selama sebulan. Selain 52.6% responden mengaku mengalami kesan kewangan akibat krisis Covid-19.
Pada 3 April lalu, Dr Norlin Khalid Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan , Universiti Kebangsaan Malaysia memetik data anggaran: 951,000 orang akan kehilangan pekerjaan di negara ini akibat Covid-19.
Selain itu, Dr Norlin turut memetik hasil tinjauan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC). Sekitar 40% PKS akan terhenti operasi sekiranya rantaian Covid-19 berlanjutan antara tiga hingga enam bulan.
Di Amerika Syarikat (AS), selepas dua minggu dilanda Covid-19, angka pengangguran baru bertambah 6.6 juta orang. Peningkatan itu mencatatkan sejarah tertinggi di AS.
Selepas tiga minggu, angka pengangguran baru terus meningkat dengan mendadak mencapai 16.8 juta. Berdasarkan trend itu, Jabatan Buruh AS menganggarkan, dalam tempoh sebulan, jumlah pengangguran akan mencapai 20 juta orang.
Di peringkat global, NGO Oxfam pada 9 April mengeluarkan laporan senario peningkatan angka kemiskinan sekiranya berlaku 20% penguncupan pendapatan.
Oxfam mengingatkan, angka miskin tegar global akan meningkat lebih 100% daripada 434 juta kepada 922 juta orang.
Sekiranya pendapatan penduduk dunia berada dibawah AS$5.50 (RM24) sehari, jumlah kemiskinan global akan meningkat lebih tujuh kali ganda. Daripada 548 juta orang kepada hampir 4 bilion.
Semua data ini merujuk pada impak pantas dan berantai akibat krisis Covid-19.
Imbasan krisis matawang 1998
Kita imbas kesan ekonomi terhadap pekerja Malaysia. Senario ini merujuk pada krisis kejatuhan matawang 1998 (tanpa angka-angka yang kompilkated).
Imbasan ini berdasarkan pengalaman melalui period krisis matawang Asia 1998.
Dalam sejarah Malaysia sejak merdeka, krisis ekonomi pertama berlaku pada 1987, namun ia tidak parah. Krisis ini lebih kepada menurunnya permintaan berbanding bekalan.
Pada 1998, muncul krisis ekonomi terbesar di Malaysia. Namun, ia bukan krisis global. Tapi dikenali sebagai krisis kewangan Asia.
Korea Selatan, Jepun, Thailand, Indonesia, Filipina dan Malaysia terimpak teruk. Ratusan ribu orang kehilangan pekerjaan di negara ini. Malah, rali kehilangan kerja bermula sebaik saja pekerja kembali daripada cuti Aidilfitri pada awal Februari 1998.
Sebelum itu, puluhan ribu pekerja sudah terjejas mulai Julai hingga Disember 1997 - apabila nilai ringgit menyusut 66.7%.
Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) juga merudum. Sebelum krisis matawang bermula, indeks berada pada paras 1200 mata. Sebaik saja krisis berlaku, angkanya menurun tiap minggu hingga ke paras 600 mata.
Pada 2 September 1998, BSKL jatuh ke paras 263 mata: angka terburuk dalam sejarah.
Krisis matawang Asia bermula Julai 1997. Namun, rakyat lebih diralitkan dengan berita ‘betapa jahatnya George Soros’.
Rakyat dipaksa melihat kejahatan Soros melebihi keperluan untuk bersedia menghadapi realiti ekonomi pasca kejatuhan mata wang Asia.
Rakyat hanya mula sedar dan merasakan betapa teruk risiko krisis selepas tiga bulan, ketika pada Oktober 1997 keadaan mula menekan.
Apabila ringgit menyusut ke paras RM4.40 berbanding AS1 (sebelum ditambat pada nilai RM3.80) banyak syarikat terpaksa membuang pekerja.
Pada waktu itu, kesedaran mengenai hak pekerja juga masih ditahap rendah. NGO pro pekerja dan hak asasi tidak sebanyak sekarang.
Banyak syarikat termasuk bertaraf multi-nasional menjalankan proses pembuangan pekerja secara mudah. Waktu itu - istilah VSS atau MSS belum popular. Malah, belum pun pandai disebut orang.
Krisis matawang terlalu pantas
Selama lima tahun sebelum 1997, Malaysia menikmati pertumbuhan purata ekonomi sekitar 8% setahun. Angka yang menjadikan ekonomi Malaysia sangat mapan. Malah, dianggap antara ‘harimau ekonomi’ Asia Timur.
Hanya empat hari selepas ringgit merudum, agensi penarafan Standard and Poors menurunkan taraf rating hutang Malaysia. Keadaan ini menyebabkan Malaysia kehilangan banyak pelaburan asing.
Malah, hutang Malaysia Airlines System (MAS) melonjak ke paras RM9 bilion. Meningkat 30% hanya disebabkan kejatuhan nilai ringgit.
Rali kejatuhan matawang terus memburuk apabila diseret krisis politik pada 2 September 1998.
Sejak itu, ekonomi Malaysia terus tidak menentu hingga tahun 2002.
Terdapat syarikat yang meneruskan operasi secara bertahan setelah membuang antara 30% hingga 60% pekerja. Kelewatan bayaran gaji hingga tempoh dua bulan adalah perkara biasa. Kegagalan syarikat mencarum KWSP juga perkara biasa. Malah, setiap hari kes individu diisytiharkan muflis juga perkara biasa.
Kali ini Malaysia perlu bersedia
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed satu peringatan awal. Pada 5 April lalu, Mustapa menjelaskan, Malaysia mungkin mengalami kemelesetan ekonomi yang lebih teruk berbanding krisis kewangan 1998-1999. Lebih buruk lagi, kali ini krisis kemelesetan ekonomi bersifat global.
Mustafa membandingkan kesan awal krisis ini dengan impak kejatuhan harga minyak.
“Bagi setiap AS$1 penurunan harga minyak mentah dunia sekarang, pendapatan hasil petroleum berkurangan kira-kira RM300 juta,” katanya.
Manakala Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjur semula pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini.
Unjuran awal 4.3% hingga 4.7% dijangka menurun ke paras negatif 0.2% hingga positif 0.5%.
Kita sudah menyedari hakikat ini. Persoalannya, sejauh mana persediaan bagi mendepani realiti dan kesannya.
Melihat realiti 30 hari dari sekarang
Semua pihak bersetuju PKS paling terdedah dan bakal teruk terjejas. Apa lagi kesatuan dalam industri PKS memaklumkan 33% syarikat hanya memiliki ketahanan tunai hingga Mac lalu. Manakala 37% lagi memiliki kemampuan tunai hingga April ini.
PKS menyumbang 37.1% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan 66% peluang pekerjaan. Malah, menyumbang 17.3% pada eksport negara.
Nasib PKS ini bergantung penuh pada keberkesanan Pakej Prihatin Nasional (PPN). Pakej rangsangan ini menyediakan lebih RM13 bilion dana kepada PKS. Sejauh mana pakej ini mapan, kesannya dapat dilihat dalam tempoh tiga bulan ini.
Kita akui Covid-19 harus diberikan keutamaan pada masa ini. Namun, kita perlu bersedia juga berdepan realiti kemelesetan ekonomi dunia.
Dalam kes ekonomi, kita jangan ulangi kesilapan Itali dan Amerika Syarikat dalam isu Covid-19. Dua kuasa ekonomi ini meremehkan amaran wabak ini - lihatlah akibat dan harga yang perlu dibayar.
Kurangkan politiking, kasihani rakyat
Apabila kita meneliti perkembangan semasa, wujud rasa kesal terutama soal politiking.
Ketenatan krisis Covid-19 dan kesan ekonomi yang bakal melanda 14.5 juta pekerja sepatutnya satu keutamaan. Namun, politik sentiasa liar dan adakala di luar kawalan.
Ahli politik mencipta suhu dan suhu ini selalunya berniat membakar persekitaran.
“Tegur sikit ahli politik supaya mereka faham jangan terlalu berpolitik soal kuasa. Ini masa memikirkan nasib rakyat yang merana,” kata rakan media.
Wartawan yang melihat rakyat sebagai keutamaan pastinya jelak melihat media massa terus diserabuti isu politik.
“Ahli politik akan kekal dengan kerjaya politik, tapi kerjaya rakyat akan teruk terjejas,” kata rakan agen insurans.
“Kami taktau apa akan berlaku. Kami rasa perniagaan akan musnah sebab keadaan sekarang. Kami usahakan perniagaan kecil di tepi jalan antara 10 hingga 20 tahun lalu sebelum mampu menyewa kedai. Nampaknya, keadaan ekonomi akan buat kami balik ke tepi jalan,” kata peniaga kecil di Kompleks Campbell.
Soalan rambang yang diberikan melalui WhatsApps dijawab dengan nada kebimbangan.
“Kalau politiking dikurangkan, negara boleh fokus dan bergerak ke depan. Kalau rakyat sendiri pun risau melihat keadaan politik yang rapuh, pelabur lagilah takut,” kata rakan media.
Persoalannya: mampukah ketakutan rakyat difahami ahli politik?
Selalunya, nafsu ahli politik sukar dikawal. Mereka rela membakar apa saja untuk mendapatkan cahaya bagi kepentingan diri. – 12 April, 2020.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen