SENARAI pasar Ramadan yang akan beroperasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan kaedah jualannya akan diputuskan minggu depan, kata Annuar Musa.
Beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan akan bertemu dengan pelbagai persatuan penjaja bagi memutuskan bagaimana gerai akan beroperasi di 66 lokasi pasar Ramadan.
“Penjaja akan membuka gerai di 66 lokasi namun mereka masih tertakluk dalam perintah penjarakan sosial dan semua garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.
“Kami harap dapat tempatkan pegawai di lokasi-lokasi ini bagi memantau dan memastikan garis panduan diikuti,” kata menteri itu di Facebook hari ini.
Tujuan pertemuan dengan wakil-wakil persatuan itu adalah bagi memuktamadkan bagaimana gerai-gerai tersebut dapat dijarakkan.
“Selepas itu, penjaja akan diberikan 3-4 hari untuk mendaftarkan gerai mereka dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya, sebelum kami bertemu dengan syarikat e-hailing untuk melihat bagaimana kita dapat terus laksanakan,” kata Annuar.
Ini adalah kali pertama pasar Ramadan yang akan menggunakan sistem e-hailing untuk menghantar makanan kepada pengguna berikutan pengharaman seluruh bazar Ramadan di seluruh negara akibat pandemik Covid-19.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam diumum dilanjutkan sekali lagi sehingga 28 April, melewati permulaan bulan Ramadan yang dijangka bermula pada 23 April. – Bernama, 11 April, 2020.
Komen