Sasaran PAS tawan 4 negeri, 40 kerusi Parlimen bukan cakap kosong


Diyana Ibrahim

Pengarah Strategi PAS Dr Zuhdi Marzuki berkata sasaran PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 adalah realistik dan bukan sekadar cakap kosong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hanoor Hussain, 1 Mei, 2017.

PAS yakin dapat memenangi empat hingga lima negeri dan 40 kerusi Parlimen, berdasarkan kajian dalaman ekstensifnya, kata Pengarah Strategi Dr Zuhdi Marzuki.

Zuhdi berkata sasaran PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 adalah realistik dan bukan sekadar cakap kosong.

“Bila presiden kata mahu 40 kerusi Parlimen dan boleh mentadbir empat atau lima negeri ia bukan cakap kosong, ia ada asasnya,” katanya semasa sesi penggulungan Muktamar PAS ke -63 di Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

Zuhdi berkata, PAS melakukan kajian khusus bagi beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perak dan Sabah.

Tidak menyatakan secara jelas kajian itu, beliau berkata ia membabitkan kira-kira 100 simulasi dan analisis daripada beberapa badan pemikirnya.

“Kami melihat kedua-dua senario, pertandingan satu lawan satu dan pertandingan tiga penjuru. Pada masa sama, kita tidak mengabaikan kajian daripada pemikir lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kajian dilakukan PAS itu tidak didedahkan kepada orang ramai dan hanya digunakan bagi keperluan parti sahaja. – 1 Mei, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen