DBKL mula salur bantuan wang tunai Covid-19, kata menteri


Ravin Palanisamy

DBKL mula mengedarkan bantuan wang tunai kepada penduduk yang layak dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2020.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur sudah mula mengedarkan bantuan wang tunai kepada penduduk yang layak dan peniaga kecil yang berdaftar dengannya, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Katanya, bantuan tunai itu adalah inisiatif Wilayah Cakna dan pakej Bantuan Prihatin Nasional yang diluluskan Kabinet.

DBKL mula mengedarkan bantuan wang tunai itu secara terus kepada penerimanya atau melalui pemindahan elektronik.

“Kita sudah mula membuat pengedaran bantuan tunai dari pintu ke pintu di Perumahan Rakyat Seri Johor beberapa hari lalu (6 sehingga 8 April) di mana daripada 2,323 rumah, kami berjaya menyampai 75% atau 1,753 rumah, dengan jumlah RM175,000.

“Terdapat sekitar 590 unit lagi gagal diserahkan bantuan tunai kerana sama ada pemilik rumah tiada di rumah atau tiada orang tinggal di unit itu.

“Daripada 4 sehingga 15 April, kami akan memulakan pemindahan elektronik. Sehingga kini, kami berjaya melakukan pemindahan elektronik kepada 6,699 orang atau RM699,900,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung di Facebook.

Annuar sebelum itu berkata hampir 100,000 orang akan mendapat manfaat daripada inisiatif Wilayah Cakna dengan peruntukan RM100 juta.

Katanya, peruntukan itu untuk pembelian makanan dan barangan asas, pengecualian enam bulan sewa, bantuan tunai untuk miskin bandar, peniaga dan penjaja kecil.

Mengenai bayaran sekali RM500 kepada peniaga dan penjaja kecil, Annuar berkata kebanyakan RM4.4 juta sudah diberikan kepada mereka yang berdaftar dengan DBKL.

“Saya akui daripada 17,000 sasaran, kita berjaya sampaikan bantuan kepada 10,621 orang (RM4.4 juta) yang merupakan peniaga berlesen di bawah DBKL,” katanya.

Annuar berkata mereka yang masih belum menerima bantuan daripada DBKL boleh berhubung dan memastikan maklumat mereka dilengkapkan bagi membolehkan bantuan disalurkan. – 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen