PASUKAN polis, tentera dan agensi penguatkuasa lain sudah diarahkan mengetatkan kawalan sempadan untuk menghalang kemasukan haram pendatang yang mungkin membawa risiko jangkitan luar Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong-lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini.
“Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita,” katanya pada siaran langsung hari ini.
Jelasnya, Pejabat Perdana Menteri sudah memberi arahan kepada ketua polis negara, panglima angkatan tentera dan ketua pengarah maritim, imigresen, Rela dan agensi lain untuk mengetatkan kawalan sempadan.
Katanya, tindakan ini perlu dibuat dan diberi perhatian kerana wabak Covid-19 bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga melanda negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Dalam perutusannya hari ini, Muhyiddin mengumumkan PKP dilanjutkan ke tahap ketiga sehingga 28 April menjadikan tempoh keseluruhan enam minggu.
Pada peringkat pertama PKP, hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi termasuk komunikasi, tenaga, utiliti dan bekalan makanan dibenarkan beroperasi.
PKP dikuatkuasa bermula 18 Mac di seluruh negara untuk memutuskan rantaian jangkitan. Pada 25 Mac, Putrajaya mengumumkan PKP dilanjutkan ke tahap kedua selama dua minggu sehingga 14 April.
Sehingga semalam, Malaysia merekodkan 4,228 dengan 67 kematian dan 1,608 berjaya sembuh manakala 72 masih dalam unit rawatan rapi. Seramai 43 orang masih memerlukan bantuan pernafasan. – 10 April, 2020.
Komen