79 kes baharu Covid-19 dilaporkan berlaku di tiga buah bangunan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, hari ini.
Katanya, 49 kes baharu dikesan di Selangor Mansion dan Malayan Mansion, manakala 30 kes lagi dilaporkan di City One Plaza, selepas ujian saringan dibuat ke atas penduduk ketiga-tiga apartment itu.
Jelasnya, kes baharu itu menjadikan kesemua kawasan itu kini diletakkan dalam zon merah dan pihak berkuasa sedang memberi tumpuan penuh kepadanya.
“Selepas beberapa kes dilaporkan selepas saringan dan ujian dibuat ke atas penduduk di situ, terdapat sejumlah kes baharu dikenal pasti dan ini yang kita perlu bimbangkan sekarang.
“Di Selangor Mansion dan Malayan Mansion, ada 49 kes, di City One Plaza pula ada 30 kes.
“Ini membawa kepada jumlah kes 79 dalam kawasan yang kecil. Ini sesuatu yang pihak berkuasa beri perhatian sekarang,” katanya pada sidang media disiarkan di Facebook, hari ini. – 10 April, 2020.
Komen