Pelajar perlu kekal di kampus jika PKP dilanjutkan, kata menteri


Noel Achariam

Pelajar yang berada di kampus kolej atau universiti tidak dibenarkan pulang jika perintah kawalan pergerakan dilanjutkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2020.

PELAJAR yang terkandas di kampus kolej atau universiti tidak akan dibenarkan pulang jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Prosedur operasi standard (SOP) yang sama dikenakan kepada pelajar seperti diumumkan ketika PKP bermula bulan lalu akan dikekalkan, katanya.

“Bagi pelajar di kolej dan universiti, SOP akan tetap dikekalkan.

“Mereka masih perlu kekal berada di kampus atau kediaman mereka dan makanan akan disediakan,” katanya pada taklimat harian media berkenaan Covid-19.

Ismail berkata demikian sebagai menjawab soalan ibu bapa yang merayu untuk anak mereka dibenarkan pulang jika PKP dilanjutkan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yasssin dijangka membuat pengumuman sama ada PKP akan dilanjutkan atau tidak petang ini.

Bulan lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi berkata pelajar di universiti awam dan swasta perlu kekal berada di kampus sepanjang PKP.

“Semua pelajar termasuk pelajar antarabangsa perlu kekal di asrama kolej atau rumah sewa masing-masing, walaupun jika mereka sudah membeli tiket untuk pulang.

“Pelajar tidak dibenarkan pulang ke rumah atau negara asal masing-masing sepanjang PKP dan perlu melaporkan diri kepada pentadbir universiti atau kolej.”

Institusi berkenaan bertanggungjawab bagi keperluan asas pelajar, keselamatan dan kebajikan mereka sepanjang tempoh ini.

Malaysia melaporkan 67 kematian dengan dua kes maut semalam. Sebanyak 109 kes jangkitan baharu dikesan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 4,228.

Semalam dilaporkan ibu bapa pelajar universiti dan kolej yang terkandas mahu kerajaan membenarkan anak mereka pulang ke kampung sekiranya PKP dilanjutkan. – 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen