KERAJAAN akan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar kompaun terhadap mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan memandangkan kompaun RM1,000 mungkin rendah kerana masih ada yang ingkar, kata Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“Mungkin kita akan meminta Kementerian Kesihatan dan Jabatan Peguam Negara untuk mempertimbangkan kenaikan kadar kompaun dan tempoh penjara kepada mereka yang ingkar.
“Ia bagi memastikan mereka tidak melanggar PKP,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Ismail berkata, setakat semalam, polis mengeluarkan 392 kompaun kepada individu yang melanggar kawalan pergerakan.
Menurutnya, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan mula membantu pihak polis dan tentera pada sekatan jalan raya.
“Ini membolehkan pihak polis mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya dan rondaan di seluruh negara.”
Setakat ini katanya, sebanyak 775 sekatan jalan raya dibuat dan 508,605 kenderaan diperiksa.
“Sebanyak 38,854 pemeriksaan mengejut turut dijalankan seluruh negara dan 5,538 premis diperiksa.”
Katanya, polis turut menahan 666 individu pada sekatan jalan raya kerana melanggar PKP.
“263 individu direman dan 11 individu dibenarkan ikat jamin.”
Tambahnya, setakat semalam, jumlah tangkapan di bawah PKP adalah 7,479.
Malaysia merekodkan 67 kematian dengan dua kematian terbaharu semalam.
Semalam, 109 jangkitan baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 4,228.– 10 April, 2020.
Komen