MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan penghujahan lisan kes SRC International ke satu tarikh baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut salah seorang peguam bela Najib, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya penghujahan lisan bermula pada 18 Mei.
Tarikh asal penghujahan asal ditetapkan pada 12 Mei.
Peguam pasukan pendakwaan dan pembelaan diberi tempoh tiga hari untuk menggulung hujah sebelum perbicaraan sampai ke penghujungnya.
Mahkamah kemudian akan menetapkan tarikh bagi memutuskan sama ada bekas perdana menteri Najib Razak dibebaskan atau disabitkan bersalah atas tujuh tuduhan menerima RM42 juta dari dana SRC International pada 2014 dan 2015.
Najib, 66, berdepan hukuman penjara 20 tahun jika disabitkan bersalah.
Pembelaan juga akan mengemukakan hujahan bertulis selewat-lewatnya 28 April, dan hujahan balas pendakwaan pada 12 Mei. Tarikh asal kedua-dua prosiding ditetapkan pada 21 April dan 5 Mei.
Pasukan peguam Najib yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah menerusi surat bertarikh 1 April memfailkan permohonan pindaan tarkh kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyuddin Mohd Som.
“Memandangkan semua pihak perlu mematuhi PKP, semua firma dan pejabat ditutup, dan operasi ditangguhkan sehingga 14 April. Situasi ini menyukarkan kami kerana PKP menyekat pergerakan.”
Pembelaan menutup kes pada 11 Mac lalu selepas selesai menyoal balas saksi terakhir. Seramai 76 saksi termasuk 57 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula pada 3 April tahun lalu.
Pendakwaan memanggil 19 saksi termasuk bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dan bekas mentri luar Anifah Aman.
Pendakwaan diketuai oleh bekas peguam negara Tommy Thomas sebelum meletak jawatan pada 29 Februari susulan perubahan kerajaan persekutuan. – 10 April, 2020.
Komen