SYARIKAT perkhidmatan kurier menafikan dakwaan penghantaran dihentikan sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kelewatan penghantaran itu berikutan peningkatan tempahan barangan dan produk kerana masyarakat hanya berada di rumah, kata syarikat berkenaan.
Satu lagi faktor yang menyebabkan permintaan meningkat adalah diskaun yang ditawarkan platform membeli-belah dalam talian.
Syarikat berkenaan diminta mengulas terhadap aduan di media sosial termasuk gambar longgokan bungkusan di fasiliti simpanan kurier tempatan di Kuala Lumpur dan Johor, yang akan dihantar.
Gambar berkenaan tersebar berikutan aduan pengguna mengenai kelewatan tempahan mereka.
Pengarah Urusan DHL, Julian Neo menyedari bahawa pelanggan akan berdepan masalah kelewatan dalam penghantaran barangan yang ditempah di bawah PKP.
“Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan kerajaan Malaysia, khidmat penghantaran dan kiriman DHL Express akan mengalami kelewatan namun syarikat masih terus menyokong penghantaran barangan keperuan penting, bergantung kepada sekatan di kawasan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.
Ditanya mengenai jumlah kakitangan yang bertugas, DHL enggan mengulas lanjut.
Penyedia perkhidmatan rangkaian kurier tertua dan terbesar di negara ini, Pos Malaysia, yang mempunyai lebih 15,000 kakitangan di seluruh negara, telah menyediakan perkhidmatan alternatif untuk pelanggan dan perniagaan bagi menerima dan menghantar bungkusan semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Salah satunya adalah EziBox yang merupakan kemudahan layan diri yang beroperasi 24 jam sehari, di mana pelanggan boleh mengambil pakej mereka dihantar ke loker yang paling hampir dengan lokasi mereka. – 10 April, 2020.
Komen