Covid-19 buka mata kepada sejarah awal Kuala Lumpur


Sheridan Mahavera

Bangunan kediaman Selangor Mansion yang dikurung adalah antara perumahan awam awal di Kuala Lumpur, yang kini jadi jendela melihat sejarah. – Gambar fail The Malaysia Insight, 10 April, 2020.

SELANGOR Mansion dan Malaya Mansion, bangunan kediaman tinggi antara yang terawal di Kuala Lumpur, minggu lalu tidak tentu pasal jadi tajuk berita.

Pihak berkuasa mengurung rumah pangsa di kawasan Masjid India itu, beberapa hari selepas tindakan sama ke atas kondominium Menara City One, yang jarak antaranya lebih kurang 5 minit berjalan, susulan kes positif Covid-19 di ketiga-tiga kediaman itu.

Menara City One diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pada 1 April selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 17 kes positif Covid-19, pada masa itu. Lebih 3,000 penduduknya dikurung sehingga 13 April ini.

Selangor Mansion dan Malaya Mansion, yang dianggarkan didiami antara 5,000 hingga 6,000 orang, diletakkan di bawah perintah sama pada 7 April selepas 15 kes positif Covid-19 dikesan.

Pihak berkuasa berkata kebanyakan penduduk di dua rumah pangsa itu adalah warga asing, terutamanya dari India, Pakistan, dan Bangladesh.

Penyelidik sejarah dan warga emas di sekitar Masjid India memberitahu The Malaysian Insight dua rumah pangsa itu adalah jendela yang menunjukkan bagaimana Kuala Lumpur dan kerencaman budayanya tumbuh dan berkembang.

Bangunan lapan tingkat dengan 160 unit itu adalah antara yang tertua di kawasan Masjid India, yang juga terkenal tempat tumpuan masyarakat India Muslim serta tempat membeli-belah untuk sambutan perayaan.

Di atas peta, kawasan itu kelihatan seperti segi tiga terbalik dengan tapaknya bersempadan dengan Jalan Dang Wangi di utara.

Di hujungnya, hala ke selatan ke arah Pasar Seni, ialah Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Di tengah-tengahnya segi tiga itu ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sentiasa sibuk, yang pada suatu masa dahulu dikenali dengan nama Batu Road, kerana ia menghala ke Kampung Batu, kata pengkaji sejarah Mariana Isa.

Askar bertugas di Selangor Mansion di Jalan Masjid India yang dikenakan PKPD selepas beberapa kes Covid-19 dikesan. – Gambar fail The Malaysia Insight, 10 April, 2020.

Pada tahun 1880-an, rata-rata penduduk di kawasan Masjid India tinggal di perkampungan rumah kayu di belakang deretan kedai di Batu Road dan di sepanjang Sungai Klang, katanya, yang menulis buku Street Names, Towns of Malaya.

Buku itu ditulisnya bersama Maganjeet Kaur.

Menurut Mariana, di atas tapak kampung itulah sekarang ini berdirinya bangunan perniagaan seperti Semua House dan Haniffa serta kedai kain Jakel.

Mariana membuat penyelidikan Jejak Warisan Kuala Lumpur untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Buku terbarunya ialah kajian mengenai pelabuhan lama bertajuk “Between the Bay of Bengal and the Java Sea”.

Masyarakat yang mendiami kawasan Masjid India kebanyakannya pendatang dari India Selatan antaranya dari Tamil Nadu dan Gujerat, yang berkumpul di situ kerana kawasan arah selatannya diduduki oleh pendatang dari China, kata Mariana.

Pendatang ini membuka kedai menjual kain, pakaian, barangan kemas dan makanan dari India di sepanjang Batu Road, yang selepas Merdeka dinamakan sebagai Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Di satu sudut kawasan Masjid India, dekat tebing Sungai Klang, masyarakat India Muslim ini mendirikan masjid pada tahun 1850-an.

Mereka bertegas mahu mengekalkan masjid itu walaupun pemerintah British memujuk supaya jemaah itu bergabung dengan Masjid Jamek yang sedang dibina pada awal 1900-an, kata Mariana.

Hari ini, Masjid India mendirikan solat Jumaat dengan khutbah dalam bahasa Tamil.

Yang pertama

Narayanan Ponnusamy masih ingat bagaimana sebelum ada Selangor Mansion dan Malaya Mansion, kawasan di sekitar itu pernah jadi sarang pelacuran yang dipanggil belakang mati.

“Di tempat ini juga dulu ada pawagam Odeon, Cathyat dan panggung filem Hindustan.

“Pernah dahulu Rose Chan (penari bogel terkenal) buat pertunjukan di salah satu panggung itu,” katanya, yang membesar di kawasan Masjid India antara tahun 1950-an hingga 1970-an.

Dek kebakaran yang kerap berlaku di perkampungan di situ, pihak berkuasa merobohkan rumah-rumah kayu dan memindahkan penduduk ke bangunan perumahan awam, kata Mariana.

Penghuni Malayan Mansion di Jalan Masjid India duduk di depan flat mereka sementara menunggu azan Maghrib. – Gambar fail The Malaysia Insight, 10 April, 2020.

Bangunan pertama ialah Sulaiman Court, yang dibina di tapak sekarang ini berdirinya pusat membeli belah Sogo.

Pada 1962, Selangor Mansion dan Malaya Mansion dibina. Masjid India ketika itu masih lagi masjid kayu, kata Narayanan, yang dahulu tinggal bersama keluarga dan lapan adik beradiknya di Sulaiman Court.

Ramesh Kodammal, yang juga membesar di kawasan Masjid India, berkata unit kediaman empat bilik itu dulu dijual pada harga RM6,800.

“Sekarang, lot kedai lima tingkat di kawasan Masjid India boleh cecah RM22 juta,” kata ahli perniagaan itu, yang juga pengerusi bersama Majlis Perniagaan Asean-India.

Kawasan itu juga tarikan kepada peniaga dan buruh dari Asia Selatan dan hari ini sangat popular dalam kalangan warga India, Pakistan, Bangladesh, serta Nepal.

“Dahulu, di sinilah satu-satunya tempat di Kuala Lumpur kita boleh dapat makanan mamak atau India Selatan,” kata Ramesh, yang membuka pejabat pertamanya di kawasan itu.

“Pedagang dari Asia Selatan menjual barang di kaki lima. Restoran dan pengurup wang pun mula dibuka. Merekalah yang tinggal di rumah pangsa itu.”

Perniagaan yang rancak di kawasan itu membuka jalan kepada tumbuhnya pusat perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman seperti Globe Silk Store dan GS Gill.

Di situ jugalah kedai makan segera ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) dan A&W yang pertama di negara ini dibuka.

“Apabila kawasan seperti Bangsar dibuka pada 1980-an, penduduk asal di rumah pangsa ini berpindah dan membeli hartanah di sana,” kata Ramesh.

“Hari ini, rumah pangsa itu didiami kebanyakannya oleh buruh asing.” – 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen