Moga ada sinar cerah untuk kawasan Masjid India, kata penduduk


Sheridan Mahavera

Pekerja melalui kawasan Masjid India yang lengang sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. – Gambar fail The Malaysia Insight, 10 April, 2020.

NARAYANAN Ponnusamy cukup kenal kawasan di sekitar Masjid India seperti beliau mengenali sahabat lamanya sendiri yang paling akrab.

Selama hampir 50 tahun, di situlah padang permainannya dan tempat keluarganya memulakan perniagaan mengurup wang yang kemudian mereka kembangkan.

Narayanan, 73, percaya – sama seperti dahulu – ada hikmah di sebalik wabak Covid-19 yang sedang bersebaran, yang menjadikan kawasan di sekitar Masjid India yang selalu sesak seperti daerah mati.

Beliau pernah melalui tempoh darurat dan pelbagai bencana yang melanda kawasan bersejarah itu, yang kemudian bertukarnya jadi lebih baik.

Selama beberapa bulan selepas rusuhan 13 Mei 1969, seluruh negara diletakkan di bawah perintah darurat.

Hari ini, tiga bangunan di kawasan itu – yang menempatkan sehingga 8,000 penduduk – juga dikurung dengan kawat duri dan dikawal 24 jam oleh polis dan tentera.

Kondominium Menara City One, yang terletak kira-kira 600 meter dari Masjid India, dikurung selepas 17 penduduknya disahkan positif Covid-19 pada 1 April lalu.

Tujuh hari kemudian dua bangunan Selangor Mansion dan Malaya Mansion, yang jaraknya tidak sampai lima minit berjalan, juga dikunci selepas 15 penghuninya juga disahkan positif.

Tiga bangunan itu diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), yang menetapkan tiada orang boleh keluar atau masuk.

Mereka yang positif Covid-19 di tiga bangunan itu bekerja di kawasan Masjid India.

Selain peristiwa 13 Mei, Narayanan juga saksi mata banjir besar di Kuala Lumpur pada 1970-an.

“Kawasan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman sampai ke Chow Kit macam laut,” katanya.

“Air sampai ke tingkat satu rumah kedai. Hampir semua musnah.”

Namun kawasan itu bangkit semula beberapa bulan kemudian, dan hari ini, kawasan Masjid India yang mercup dengan pelbagai perniagaan kecil, sederhana dan besar tidak menunjukkan tanda-tanda bekas banjir besar.

“Semasa 13 Mei, KL dikenakan perintah berkurung. Tetapi beberapa selepas itu keadaan berubah. Rasa lebih selamat,” katanya.

“Sebelum itu kita dengar banyak cerita rompakan tetapi selepas 13 Mei perompaknya pun hilang.”

Kakitangan DBKL berdoa sebelum menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman di Jalan Masjid India pada 8 April lalu. – Gambar fail The Malaysia Insight, 10 April, 2020.

Sejarah Masjid India

Kawasan Masjid India, yang dinamakan sempena masjid untuk India Muslim, bermula sejak 1860-an. Di atas peta, ia kelihatan seperti segi tiga terbalik dengan tapaknya bersempadan dengan Jalan Dang Wangi di utara.

Kawasan itu tersepit antara Sungai Gombak di barat dan Sungai Klang di timur.

Di tengah-tengahnya terletak Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sentiasa sibuk.

Pada tahun 1960-an, bangunan yang hari ini menjadi kediaman dan kedai seperti Mydin, Haniffa dan Semua House adalah kampung yang padat dari Jalan Tuanku Abdul Rahman sampai ke Sungai Klang.

Kampung itu pernah dipanggil belakang mati dan merupakan kawasan pelacuran.

Penduduknya percaya sarang pelacuran itu dibersihkan semasa darurat 13 Mei, kata Narayanan.

“Seluruh KL selepas itu rasa lebih selamat. Boleh nampak wanita berjalan kaki balik ke rumah pada waktu malam. Walaupun ada perintah berkurung, ada yang elok datang selepas itu,” katanya.

Beliau percaya hal itu akan berulang lagi, di Masjid India.

Selangor Mansion yang kini berada di bawah PKPD selepas beberapa penghuninya disahkan positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysia Insight, 10 April, 2020.

Bangunan yang menempatkan antara 5,000 hingga 6,000 majoriti warga asing itu padat dengan 10 hingga 16 orang bersesak dalam unit empat bilik tidur.

“Mungkin PKP ini akan membuka mata pihak berkuasa melihat semula keadaan itu dan selepas ini mengharamkan terlalu ramai orang tinggal dalam sebuah unit,” kata Narayanan.

Mariana Isa, seorang penyelidik sejarah Kuala Lumpur, berkata bangunan kediaman itu adalah penyelesaian kepada masalah perancang bandar pada tahun 1960-an.

“Kampung dengan rumah kayu pada masa itu terlalu padat sehingga api mudah merebak,” katanya, yang menulis buku Street Names, Towns of Malaya bersama Maganjeet Kaur.

“Jadi pihak berkuasa merobohkan kampung itu dan membina bangunan kediaman iaitu Sulaiman Court, Flat Pekeliling, serta Selangor dan Malaya Mansion,” katanya. – 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen