PUTRAJAYA perlu berhati-hati dalam membuat keputusan sama ada menyambung perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas 14 April untuk mengekang wabak pandemik Covid-19 kerana ia memberi kesan kepada ekonomi, kata bekas menteri kesihatan kepada The Malaysian Insight.
Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan persekutuan harus mempertimbangkan melonggarkan PKP secara beransur-ansur sekiranya perintah kawalan itu perlu dilanjutkan untuk mengelakkan ekonomi terjejas.
Nasihat Dzulkefly dibuat selepas sektor perniagaan memberi ancaman untuk menutup operasi besar-besaran dan kumpulan masyarakat sivil melaporkan semakin ramai rakyat berpendapatan rendah akan kelaparan apabila PKP yang dikuatkuasa selama tiga minggu menghentikan sektor perniagaan dan perdagangan.
Beliau bagaimanapun berkata PKP tidak sepatutnya dihentikan kerana ia masih perlu dilaksanakan untuk mengurangkan penyebaran jangkitan.
PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Sehingga hari ini bilangan mereka yang dijangkiti berjumlah 4,228 orang dengan 67 kematian.
“Mungkin akan ada kelonggaran dalam PKP tetapi dengan langkah yang sesuai. Kita tidak boleh terus melakukan PKP selama berbulan-bulan kerana kesannya terhadap ekonomi.
“Kita melihat hasil positif PKP. Bagaimanapun kita sepatutnya ada perdebatan tentang langkah sesuai untuk terus ke depan,” katanya yang merupakan menteri kesihatan pada pentadbiran Pakatan Harapant terdahulu.
“Ia tentang bagaimana untuk menyelesaikannya tetapi peraturan penjarakan sosial perlu dibuat untuk lokasi seperti bank dan pusat membeli-belah,” katanya.
Tambahnya sebagai contoh kakitangan tertentu dalam perkhidmatan dan perniagaan yang tidak perlu boleh dibenarkan kembali bekerja supaya syarikat mereka dapat memulakan semula beberapa operasi.
“Ini bermakna mereka perlu memakai topeng muka setiap masa, duduk sekurang-kurangnya sejauh dua meter dari rakan sekerja, tidak mempunyai hubungan fizikal dan tidak mengadakan mesyuarat besar-besaran atau perhimpunan.
“Peraturan di kedai dan pasar raya yang tidak membenarkan lebih 100 pelanggan dalam satu masa juga perlu terus dikuatkuasakan,” katanya.
Komen Dzulkefly dibuat selepas Putrajaya memutuskan sama ada untuk melanjutkan atau menamatkan PKP yang sudah berlangsung selama tiga minggu lalu untuk membendung penularan wabak Covid-19.
“Ini masa yang penting untuk sistem penjagaan kesihatan untuk mempunyai ventilator yang cukup dan katil hospital untuk merawat kenaikan kes. Tetapi bersyukurlah tidak ada peningkatan dalam bilangan jangkitan,” katanya.
Terdapat spekulasi bahawa Putrajaya akan mengekalkan PKP selepas 14 April tetapi mengurangkan beberapa sekatan.
Dr Dzulkefly berkata walaupun dengan melonggarkan sekatan, rakyat Malaysia harus terbiasa dengan “keadan terbaru” untuk mengurangkan hubungan.
“Kebiasaan yang kita pelajari semasa PKP tidak boleh dibuang.
“Amalan menggunakan platform dalam talian untuk perniagaan, untuk pendidikan mesti diteruskan,” katanya sambil menambah pandemik masih belum berakhir. – 10 April, 2020.
Komen