Individu terpilih di zon merah di Selangor akan diuji Covid-19


Sheridan Mahavera

Individu terpilih di kawasan zon merah di Selangor akan menjalani ujian Covid-19 bagi mengenal pasti pembawa virus berkenaan yang tidak bergejala tetapi mungkin menjangkiti orang lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2020.

INDIVIDU terpilih dari kawasan zon merah di Selangor akan menjalani ujian Covid-19 tidak lama lagi, kata Dr Dzulkefly yang mengetuai pasukan petugas khas tangani pandemik berkenaan.

Memanggilnya sebagai program ujian komuniti, Dr Dzulkefly berkata individu akan dipilih berdasarkan lokasi, umur dan status kesihatan mereka.

Individu ini akan dikesan oleh kerajaan Selangor, katanya sambil menolak untuk mendedahkan lokasi terlibat.

Inisiatif ini dibuat atas saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk “menguji, menguji, menguji” bagi mengenal pasti pembawa koronavirus yang mungkin tidak bergejala tetapi mungkin menjangkiti orang lain.

Sehingga 9 April Selangor mempunyai 1,118 kes positif Covid-19 dengan enam kematian.

Empat dari 10 zon merah utama di negara ini terdapat di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Klang dan Gombak.

“Kami ingin menguji seberapa ramai yang mungkin tetapi dana kami terhad, jadi kami menyasarkan kawasan tertentu berdasarkan pengiraan kami.

“Kami akan memilih individu yang dikenal pasti terdedah dan berisiko,” kata bekas menteri kesihatan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Negeri ini akan bergantung pada pasukan sukarela doktor dan professional perubatan dari sektor swasta untuk menjalankan ujian yang sama digunakan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kami menggunakan pendekatan masyarakat seperti yang disyorkan oleh WHO untuk menangani pandemik ini.

“Negeri akan memaklumkan individu yang akan diuji dan mereka akan diminta untuk tampil ke dapan kerana ia peluang untuk mengetahui status mereka,” katanya.

Program itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada 8 April yang mengatakan ia akan dilaksanakan dalam dua hingga tiga zon.

Amirudin berkata antara 1,000 dan 1,200 individu akan diuji di zon tersebut.

Berdasarkan rekod kerajaan negeri, lebih 225 daripada 1,118 kes di Selangor adalah individu yang tidak menunjukkan simptom virus berkenaan. – 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen