BEBERAPA pesakit bukan Covid-19 dipindahkan dari hospital awam ke hospital swasta susulan beberapa hospital terlibat sedang diubah suai untuk menangani lebih banyak kes koronavirus.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerajaan telah membuat perjanjian dengan hospital swasta untuk merawat pesakit bukan Covid-19 tanpa kos tambahan kepada pesakit dan dengan kos lebih rendah dari kos biasa kerajaan.
“Ia bukan harga biasa. Kita sudah berunding harga kos berkenaan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Dr Noor Hisham ditanya mengenai kebimbangan yang timbul di media sosial mengenai pesakit yang dibenarkan keluar bagi memberi ruang kepada pesakit Covid-19 di hospital kerajaan.
Beliau mengesahkan bahawa sebagai tambahan kepada hospital swasta, pesakit bukan Covid-19 juga dirujuk ke hospital daerah dan universiti.
“Kami sudah membatalkan semua kes elektif di hospital Covid-19 dan kami memindahkan mereka (ke hospital lain),” katanya sambil menambah jabatan pembedahan terus mengawasi kes dan melakukan pembedahan seperti biasa.
Noor Hisham berkata terdapat 71 hospital di seluruh negara yang mempunyai keupayaan untuk memeriksa pesakit Covid-19 dengan 42 hospital boleh memberi rawatan.
Terdapat tujuh hospital yang hanya merawat Covid-19.
Dalam satu perkongsian baru-baru ini antara Kementerian Kesihatan dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), hospital swasta bersetuju mengambil pesakit bukan Covid-19 sebagai pertukaran pengecualian cukai.
Di bawah program ini yang disokong oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hospital yang mengambil bahagian akan menerima insentif cukai atau potongan elaun/rebat dengan pengecualian cukai atau kadar cukai lebih rendah kepada doktor yang terlibat.
Terdapat juga perlindungan indemniti untuk implikasi medico-legal yang diberikan kepada doktor dan hospital yang terlibat. – 9 April, 2020.
Komen