Hampir 70,000 ujian Covid-19 dibuat setakat ini, kata KP Kesihatan


Bede Hong

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan sudah menjalankan 69,675 pemeriksaan Covid-19 dengan ujian harian kira-kira 10,000 ujian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan sudah menjalankan 69,675 pemeriksaan Covid-19 dengan ujian harian kira-kira 10,000 ujian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kami meningkatkan keupayaan kami dari 4,692 (pada 23 Mac) hingga sekarang kira-kira 10,000 sehari. Kami cuba meningkatkan kapasiti kami kepada 11,500,” katanya pada sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Data yang dikeluarkan oleh kementerian hari ini menunjukkan sejumlah 10,986 ujian dijalankan semalam selepas 12,138 ujian dijalankan pada Selasa.

Buat masa ini kementerian menggunakan Teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) bagi menentukan pesakit dijangkiti dan merancang menjalankan 16,000 ujian Covid-19 sehari menjelang pertengahan April.

Namun penggunaan kit ujian yang mengesan antibodi di dalam badan itu memberikan keputusan kurang tepat kerana pesakit yang dijangkiti Covid-19 mungkin tidak menunjukkan antibodi yang tinggi untuk beberapa waktu.

“Tidak ada yang menunjukkan kebolehpercayaan dan ketepatan,” katanya.

Beliau berharap akan ada satu lagi kit ujian yang dapat mengesan antigen atau bahan asing.

“Kita perlu mencari kit ujian yang cepat mengesan antigen yang mempunyai masa pemulihan yang singkat dan mudah alih.

“JIka kita mempunyai kit ujian cepat yang boleh dipercayai dan tepat, ini jalan penyelesaian untuk kami menjalankan pemeriksaan di klinik dan hospital,” katanya.

Malaysia hari ini mencatatkan 109 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,228 kes.

Dua kematian baharu juga dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 67 kes. – 9 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen