RAKYAT Indonesia paling ramai disahkan positif Covid-19 dalam kalangan warga asing yang dijangkiti koronavirus itu di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini diikuti warga India dan Myanmar, katanya.
Daripada 416 kes positif yang melibatkan warga asing, 51 kes adalah rakyat Indonesia, diikuti 37 India, 31 Myanmar, 29 Pakistan, dan 27 Filipina.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan daripada 416 kes positif itu, dua meninggal dunia melibatkan seorang warga Pakistan seperti yang dilaporkan semalam dan seorang warga Indonesia yang dilaporkan pada 31 Mac lalu di Kuching.
“Kementerian bekerjasama rapat dengan pihak United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, pihaknya mendapat banyak bantuan daripada badan masyarakat dan sukarelawan yang membantu usaha mengesan jangkitan Covid-19 di lapangan bersama pegawai di Pejabat Kesihatan Daerah.
Katanya, di Kuala Lumpur sahaja ada 137 sukarelawan yang bersama-sama dengan kementerian.
Dr Noor Hisham hari ini memaklumkan 109 kes jangkitan baharu menjadikan keseluruhan kes 4,228, dengan dua lagi kematian. Jumlah keseluruhan kematian setakat ini 67 orang.
Pada masa sama, 121 lagi kes positif sembuh dan dibenarkan keluar wad. – 9 April, 2020.
Komen