Gadis 23 tahun korban terbaru Covid-19


Bede Hong

Dua kematian baharu Covid-19 direkodkan hari ini termasuk seorang mangsa termuda berusia 23 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2020.

MALAYSIA mencatatkan dua kematian baharu Covid-19 hari ini termasuk seorang mangsa termuda berusia 23 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa merupakan seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan.

Pesakit mengalami kesukaran bernafas pada 30 Mac dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak pada hari sama.

Dia meninggal dunia pada jam 9.42 pagi tadi.

Ibu bapanya juga disahkan positif Covid-19.  

Satu lagi kematian melibatkan seorang lelaki berusia 59 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan menghidap sakit kronik.

Dia meninggal dunia pada jam 5 pagi di Hospital Melaka.

Dia dikenal pasti menghadiri kluster tabligh di Seri Petaling dan dimasukkan ke dalam wad pada 31 Mac.

Sebanyak 67 kes kematian direkodkan setakat ini. 

Dalam tempoh 24 jam terakhir terdapat 109 kes jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,228, kata Dr Noor Hisham. 

Ini merupakan angka kedua terendah sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Yang paling rendah ialah 106 kes pada 24 Mac. 

Jumlah mereka yang pulih juga dilihat memberangsangkan dalam tempoh 24 jam berbanding bilangan kes baharu. 

Seranau 121 pesakit pulih dan dibenarkan keluar dari hospital yang mana membawa jumlah keseluruhan pesakit pulih seraai 1,608. 

Dr Noor Hisham berkata seramai 72 pesakit berada dalam unit rawatan rapi (ICU) dengan 43 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – 9 April, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen