PROJEK pembinaan kritikal di ibu kota diberikan kebenaran khas meneruskan kerja sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, hari ini.
Pada sidang media disiarkan secara langsung di Facebook, Annuar menjelaskan perkara itu susulan aduan awam mengenai kerja pembinaan yang dijalankan ketika PKP.
Katanya, terdapat tiga jenis kerja yang diberikan kebenaran terus kerja iaitu penerowongan, pengorekan dalam dan pembinaan jangka panjang di lebuh raya.
“Beberapa pengecualian dipersetujui untuk diberikan kepada kategori pembinaan yang dianggap kritikal untuk memastikan ia selamat.
“Tiga jenis kerja itu adalah penerowongan, pengorekan dalam dan pembinaan jangka panjang di lebuh raya yang diberikan pengecualian dengan jumlah pekerja tertentu,” katanya.
Annuar berkata jika kementerian menghentikan projek itu, ia boleh mewujudkan risiko dan berbahaya kepada orang awam.
“Kerja MRT misalnya, terowong sekarang sedang dikorek di enam tempat berkedalaman 10 meter. Kerja pengorekan terowong ini tidak berhenti 24 jam sehari. Jika ia dihentikan, ia mungkin jadi mendap atau tanah runtuh.
“Terdapat juga beberapa lagi kerja pengorekan dalam, yang sehingga sekarang sudah cecah 40 meter bawah tanah. Jika dihentikan, ia mungkin runtuh atau sebagainya, jadi kebenaran pengecualian diberikan.
“Begitu juga kerja pembinaan di sepanjang lebuh raya. Menghentikannya mungkin menimbulkan isu teknikal,” katanya.
Annuar berkata walaupun kebenaran diberikan, syarikat terbabit masih perlu patuh kepada garis panduan keselamatan kesihatan di berikan DBKL, JKR dan Kementerian Kesihatan.
Beliau juga mendedahkan sudah berjumpa wakil syarikat menjelaskan peraturan dan prosedur kerja sepanjang tempoh PKP.
“Kepatuhan termasuklah menghantar senarai pekerja yang dibenarkan kerja,” katanya, menambah yang pengecualian dibuat berdasarkan kes. – 9 April, 2020.
Komen