Betulkan fokus, kata kritik selepas Noraini ajak anak muda main Tik Tok


Aminah Farid

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad dikecam di media sosial selepas menganjurkan pertandingan video di aplikasi Tik Tok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2020.

MENTERI Pengajian Tinggi Noraini Ahmad dikecam di media sosial selepas menganjurkan pertandingan video di aplikasi Tik Tok untuk meyakinkan golongan muda supaya patuh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan terus duduk di rumah.

Video serta poster promosi pertandingan itu bagaimanapun sudah diturunkan serta merta selepas mendapat kecaman awal malam tadi.

Kecaman itu bagaimanapun berterusan hari ini, termasuk turut disinggung oleh ahli politik antaranya Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam satu komen di Twitter, Nik Nazmi berkata Noraini sepatutnya memberikan tumpuan pada perkara lain yang lebih mustahak yang membimbangkan pelajar.

“Nak sangat dapat kuasa dan jadi pula menteri, elok fikir nasib pelajar yang risau macam mana semester mereka.

“Pelajar yang duduk luar ada yang makan tak tentu. Fokus situlah dari tik tok,” tulisnya, dan dicuit langsung pada Noraini di akaun Twitter menteri itu.

Semalam, Noraini memaparkan poster dan memuat naik video pertandingan TikTok di media sosialnya, yang terbuka kepada mereka yang beumur antara 18 hingga 26 tahun. Pertandingan itu dibuka semalam hingga 14 April ini.

“Jangan merayau-rayau. Stay at home (Duduk di rumah). Kita buat TikTok, siapa paling kreatif. Saya ada hadiah menarik untuk anda,” katanya dalam video itu.

Video itu turut memaparkan dua pempengaruh (influencer) di media sosial iaitu Noreen dan Iskandar Rahman, yang menarik mengikut rentak muzik yang diadun daripada ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin “ke sana ke sini” yang tular baru-baru ini.

Noraini juga kelihatan mengangguk-angguk kepalanya mengikut alunan irama muzik itu dalam video tersebut.

Seorang pengguna Twitter atas nama @nrlainftn mengkritik Noraini kerana tidak dilihat ambil berat pada isu lain yang lebih mendesak susulan penguatkuasaan PKP.

“Student punya risau pasal e-learning, yang post grad risau pasal progress terus stop, pasal grant macam mana, there’s not even any mentioning of research, menteri ni senyap je all this time and then come out with this?? 

“Hari tu nak announce pasal isu student kena balik pun lambat,” tulisnya.

Selama lebih 40 jam selepas pengumuman pada 10 malam 16 Mac, pusat pengajian, pelajar dan ibu bapa yang terlibat keliru sama ada arahan PKP itu bermaksud kolej kediaman juga ditutup dan pelajar pulang ke kampung masing-masing.

Sebahagian pelajar sempat pulang ke rumah masing-masing pada hari itu namun ada juga yang terkandas di asrama atau di rumah sewa.

Hanya pada malam 18 Mac, Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan semua pelajar perlu kekal tinggal di kampus masing-masing, selepas pihak polis menjelaskan hanya mereka yang mendapat kebenaran polis, dan atas alasan mustahak dan perlu, dibenar keluar meninggalkan daerah.

Seorang lagi pengguna Twitter @mkhairulazri berkata Noraini sepatutnya memberi perhatian kepada peluang untuk menggalakkan pembelajaran dalam talian.

“Menteri KPT ni time ni lah nak push out e-learning platform ke, kelas penambahan skill ke, subsidized online courses ke.

“Ambil contoh bagi subsidi kepada pelajar yang ambil webinar, pemilik webinar dapat duit pelajar dapat skill baru.

“Takkan itu pun nak kena ajar?,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Naqib Faiz menggariskan lima perkara yang boleh Noraini jadikan fokus sekarang, ketika PKP berjalan.

Antaranya sikap segelintir pelajar yang tidak tahu bersyukur walaupun dibantu semasa kesusahan berkurung, dan status program latihan industri yang tidak pasti.

“Saya yakin banyak lagi masalah yang dihadapi oleh pihak pendidik akademik dan pemegang-pemegang taruh universiti yang lain,” katanya, yang menyifatkan Noraini gagal memanfaat media sosial dan gagal juga memahami realiti pengajian tinggi.

Apa salah dengan Tik Tok?

Bagaimanapun ada juga yang mempertahankan pendekatan Noraini dan melihat apa yang dilakukan oleh menteri itu tidak salah, antara pembikin filem Anwardi Jamil.

“(Penyanyi) Sam Hui buat konsert percuma dalam talian untuk hiburkan orang yang berkurung di rumah, dia dipuji.

“Menteri Noraini Ahmad beritahu anak muda supaya ambil bahagian dalam pertandingan kandungan kreatif di Tik Tok untuk hiburkan orang lain, beliau dicemuh.

“Kadang-kadang kita kena berfikir di luar kotak untuk tangani krisis,” tulisnya di Facebook.

Tik Tok ialah platform kongsi video yang diasaskan di China pada 2012 dan dilancarkan untuk pasaran dunia tiga tahun lalu. – 9 April, 2020.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen