PENGHUNI yang terlibat dengan perintah pengurungan di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur akan diberi makan tiga kali sehari, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Annuar berkata walaupun ia bukan “amalan biasa” kerajaan untuk memberi bantuan kepada warga dari negara lain, kementerian sudah mengatur hal berkaitan makanan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
Kumpulan itu akan menyediakan makanan yang dibayar oleh kementerian bagi 1,850 penghuni di kedua-dua bangunan, yang kebanyakannya terdiri daripada warga asing.
“Saya tidak mahu melihat mereka dalam kesusahan dan walaupun ia bukan amalan biasa untuk melindungi orang asing dengan dana kerajaan, saya bersama timbalan Edmund Santhara sudah mengatur untuk membolehkan rakyat Malaysia, NGO dan mereka yang boleh menyumbang untuk membantu menderma makanan kepada mereka.
“Insya-Allah, dengan bantuan rakan-rakan dan NGO, mereka semua akan diberi makan tiga kali sehari,” kata Annuar dalam sidang akhbar di Facebook.
Beliau berkata terdapat 1,850 orang di dua buah bangunan berdasarkan banci terakhir yang diambil.
Dua bangunan apartmen di Jalan Masjid India di tengah ibu negara itu berada diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) susulan pengesanan kes Covid-19 di sana.
Penghuni kebanyakannya dari India, Pakistan dan Bangladesh, dan kedutaan mereka sudah dimaklumkan mengenai PKPD di premis itu.
Bagaimanapun, tiada kedutaan yang mengesahkan sebarang sumbangan bantuan, kata Annuar.
“Menurut prosedur biasa, suruhanjaya tinggi negara-negara ini harus bertanggungjawab terhadap warganegara mereka.
“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan mereka baru-baru ini, tetapi setakat ini belum jelas apa sumbangan yang mereka boleh buat walaupun kami sudah memberikan beberapa cadangan,” katanya. – 9 April, 2020.
MENYUSUL
Komen