PERINTAH kawalan gerakan yang diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam dilanjutkan hingga 14 April, kata Ismail Sabri Yaakob hari ini.
PKPD itu sepatutnya berakhir hari ini.
Menteri kanan berkata kerajaan juga menyediakan satu prosedur operasi standard baru bagi PKPD di seluruh negara.
“Ini (PKPD) akan diperhalusi oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan,” katanya semasa sidang akhbar harian di kementerian di Putrajaya hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan berkata ia berpuas hati dengan kemajuan penyaringan Covid-19 di Simpang Renggam berikutan PKPD di kawasan itu dua minggu lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat lagi kes baru dikesan di kawasan itu, berhampiran Kluang di Johor.
Kes baru menjadikan jumlah jangkitan di sana sebanyak 174.
Jelasnya, PKPD dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan.
“Semua arahan untuk PKPD jatuh di bawah Kementerian Kesihatan. Jadi, kita akan tunggu laporan dan nasihat mereka mengenainya.
Simpang Renggam adalah kawasan pertama di negara ini yang diletakkan di bawah PKPD. Setakat ini, empat kawasan diletakkan di bawah PKPD- Simpang Renggam di Kluang; Kg Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor; Plaza City One dan bangunan Selangor dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India.
Di Bandar Baru Ibrahim Majid, juga di Kluang, katanya terdapat 137 kes sekarang, meningkat 4 kes.
Putrajaya memulakan PKP pada 14 April lalu untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
Virus itu kini sudah menjangkiti 4,119 orang dan membunuh 65 mangsa. – 9 April, 2020.
Komen