Kerajaan berdepan masalah jika Parlimen tolak pakej rangsangan Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum pakej rangsangan ekonomi dalam menentang Covid-19 yang banyak membantu semua golongan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2020.

KERAJAAN Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan bermasalah jika pembangkang menolak rang undang-undang (RUU) untuk pakej rangsangan ekonomi Covid-19, apabila ia dibawa ke Parlimen kelak, kata peguam perlembagaan Lim Wei Jiet.

Beliau berkata ia mungkin masalah yang akan dihadapi kerajaan selepas ia mengumumkan dan melaksanakan tiga pakej tanpa membentangkan RUU perbekalan tambahan di Parlimen.

“Malaysia kekal sebagai satu-satunya negara Komanwel yang mengumumkan pakej rangsangan yang diperlukan untuk memerangi Covid-19 secara unilateral.

“Saya fikir masalah daripada langkah ini ialah sebahagian wang sudah dibelanjakan dan masuk poket rakyat, dan mereka sudah belanjakan untuk beli barangan dapur, misalnya.

“Dalam satu senario secara hipotetis jika pembangkang dapat menghalang RUU itu diluluskan, apa yang kerajaan akan lakukan. Ia sepatutnya tolak balik semua perbelanjaan itu,” katanya.

Lim berkata demikian ketika menjadi panel dalam seminar web anjuran Ideas bertajuk Pakej Rangsangan Covid-19: Pelaksanaan dengan Demokrasi.

Beliau berkata daripada sudut pandangan perlembagaan, Putrajaya akan perlu memberi penjelasan sumber dana untuk pakej rangsangan bernilai RM260 bilion dan juga keputusannya untuk tidak membentangkan RUU perbelanjaan di Parlimen sebelum membuat keputusan itu.

Muhyiddin sebelum ini berkata RUU perbekalan tambahan berkenaan pakej rangsangan ekonomi itu akan dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional sebaik saja Parlimen kembali bersidang.

Mengulas tentang perkara itu, Lim berkata langkah lebih bijak ialah membahaskan RUU itu dan meluluskannya sebelum ia dilaksanakan.

Katanya, walaupun memang benar langkah dalam pakej rangsangan itu perlu dilaksanakan segera memandangkan keadaan kecemasan, namun ia bukan alasan untuk mengelak daripada tanggungjawab dan pematuhan kepada undang-undang.

Dua lagi ahli panel dalam sesi itu ialah Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Felo Ideas Tricia Yeoh. – 9 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen