MASALAH pengangkutan dan kekurangan tenaga kerja menjadi kekangan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) untuk menyampaikan bantuan kepada pelbagai suku kaum berkenaan di seluruh negara sepanjang wabak Covid-19 ini.
Ketua Pengarah Jakoa Prof Dr Juli Edo memberitahu The Malaysian Insight mereka berdepan masalah logistik untuk menyampaikan bantuan kepada 55,000 isi rumah Orang Asli.
“Kami tidak mempunyai pengangkutan yang cukup menyebabkan sumbangan terpaksa dilakukan secara berperingkat. Seperti di Cameron Highlands terdapat 24,000 isi rumah, jadi kami tidak dapat pergi sekali gus.
“Kami masih cuba untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
The Malaysian Insight melaporkan suku kaum Orang Asli di Perak, Pahang dan Kelantan berdepan kekurangan bekalan makanan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi memecahkan rantaian jangkitan Covid-19.
Setakat ini virus berkenaan menjangkiti 4,119 rakyat Malaysia dan menyebabkan 65 kematian.
Antara yang dijangkiti ialah dua Orang Asli – seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Cameron Highlands dan kakitangan hospital di Perak.
Kebanyakan mereka mengeluh tidak mampu membeli makanan kerana mereka hanya mendapat gaji harian manakala yang lain mendakwa dihalang oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan langsung daripada kumpulan masyarakat sivil.

Isu lain yang dihadapi Jakoa ialah kekurangan tenaga kerja bagi menyalurkan bantuan kepada suku kaum yang memerlukan, kata Juli.
“Kita tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi kerana tidak ramai sukarelawan di pelbagai daerah.
“Di sesetengah daerah ada 20 hingga 30 kampung sementara kita mempunyai tiga hingga empat pembantu dan mereka juga sudah kehabisan tenaga,” katanya.
Beliau berkata masa yang panjang diperlukan untuk sampai ke pedalaman Gua Musang di Kelantan, Kuala Lipis di Pahang dan Gerik serta Banding di Perak kerana keadaan jalan dan cuaca.
“Kawasan lain tidak ada masalah. Bagi kawasan pedalaman kita perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan untuk kawasan yang luas kita perlu gunakan lori,” katanya.
Sukarelawan dan bantuan diperlukan
Beliau berkata pada masa ini mereka sudah mengedarkan makanan untuk gelombang pertama dan bersedia memberikan lebih banyak makanan untuk gelombang kedua menjelang akhir minggu ini secara berperingkat.
“Agensi menyediakan beras, gula dan keperluan lain tetapi apa yang mereka perlukan adalah susu tepung untuk anak.
“Bekalan dihantar ke setiap negeri dan pegawai di sana akan menyalurkannya ke daerah-daerah di mana ia akan diagihkan kepada Tok Batin (ketua kampung).
“Ia akan dihantar ke balai raya (dewan komuniti) untuk memastikan ada penjarakan sosial,” ktanya.
Beliau berkata mereka yang ingin memberi bantuan atau menjadi sukarelawan perlu melalui saluran yang betul seperti Jabatan Pengurusan Bencana negeri dan pejabat kebajikan daerah.
“Kami mengalu-alukan bantuan daripada semua agensi. Sesiapa yang mahu membantu selain agensi perlu melalui saluran yang betul,” katanya.
Katanya, selain Jakoa terdapat agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan kumpulan masyarakat sivil yang menyalurkan makanan kepada Orang Asli. – 9 April, 2020.
Komen